BUDAYARENCANA

Romantis penjenayah novel Melayu

Oleh Saiful Ghazali

 

KEGANASAN domestik merujuk kepada jenayah yang dilakukan seseorang (suami atau isteri) yang mereka kahwini atau belum kahwini kerana bersekedudukan. Profesor Madya dari John Jay College of Criminal Justice, Dr. Jayne Mooney meluaskan definisi keganasan domestik dengan merangkumkannya kepada pasangan heteroseksual, adik-beradik, ibu bapa dengan anak dan dalam kalangan pasangan homoseksual.

Malangnya, penderaan domestik atau juga dikenali sebagai keganasan rumah tangga ini menjadi tabu untuk diperkatakan dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana, pengkisahan rumah tangga yang berantakan akan memberi imej keluarga yang tidak bahagia. Kesannya, keganasan yang bermula daripada perbuatan maki hamun akhirnya akan berlanjutan kepada perbuatan yang lebih serius sehingga boleh membawa maut. Tambahan pula, jenayah yang berlaku di rumah biasanya tidak dilaporkan atau diambil tindakan kerana dianggap sebagai hal keluarga suami-isteri.

Jenayah keganasan domestik sering dianggap sebagai keganasan yang melibatkan fizikal sahaja. Namun begitu, jenayah ini sebenarnya melibatkan kekejaman mental, layanan buruk, keganasan fizikal tanpa kecederaan tubuh badan dan keganasan fizikal dengan kecederaan pada tubuh badan.

Malah, mengancam dan memaksa melakukan perbuatan seksual dalam perkahwinan juga tergolong dalam kesalahan kes keganasan rumah tangga. Sejak 2015 hingga 2018, statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mencatatkan 3,573 kes keganasan rumah tangga yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti perselisihan faham, panas baran, masalah kewangan, cemburu, penagihan dadah dan campur tangan pihak ketiga.

Maka, tidak hairanlah mengapa isu jenayah keganasan domestik telah menjadi rencah utama dalam resepi melariskan novel popular Melayu. Ia berlaku secara nyata dan realiti dalam kehidupan segelintir masyarakat seperti yang dikisahkan pengarang dalam novel. Secara sedar atau tidak, pemikiran pembaca akan dipengaruhi, diubah persepsi dan emosi oleh pengarang novel popular Melayu melalui pengkisahan babak-babak keganasan rumah tangga.

Misalnya babak keganasan rumah tangga boleh diteliti dalam novel Moga Kau Mengerti (2007) karya Lily Haslina Nasir. Melalui novel ini, pembaca dihidangkan dengan kisah seorang wanita bernama Adeena yang bernikah dengan seorang lelaki bernama Kamali. Walaupun Adeena didekati seorang doktor bernama Adib yang digambarkan “kasihnya sebening air dari pergunungan”, namun Adeena tetap memilih Kamali kerana di setiap ceruk hati perempuan itu tersemat nama Kamali. Kemuncaknya, Kamali telah melakukan jenayah keganasan rumah tangga ke atas Adeena seperti ditengking, ditampar di muka dan dilibas dengan tali pinggang ke anggota badan sehingga akhirnya Adeena dimasukkan ke wad kecemasan. Jenayah ini bukan sahaja memberi kesan fizikal namun digambarkan telah menyebabkan kesan emosi yang teruk apabila watak Adeena bermimpi ngeri dan tangis berpanjangan.

Begitu juga kisah yang menimpa watak Elisya dalam novel Jodoh Sebumbung (2016) karangan Siti Nur Dhuha. Elisya dikisahkan telah dicerca dengan tuduhan “perempuan mandul”, dijerkah, dilibas dengan tali pinggang oleh suaminya iaitu watak Aliff Badri sehingga Elisya mengalami bengkak-bengkil wajah dan tubuh. Kesan daripada jenayah itu, watak Elisya diceritakan hanya meringkuk kesakitan di suatu sudut sambil memohon doa kepada Tuhan supaya dia diselamatkan daripada bala yang tidak berpenghujung itu.

Cukup klise, watak perempuan selalu menjadi mangsa keganasan rumah tangga dalam novel popular Melayu. Watak lelaki pula hanya mendapat balasan apabila menyesal dengan keganasan rumah tangga yang dilakukan seterusnya mencuba untuk memujuk watak perempuan yang sudah dibelasah dan dideranya sebelum itu. Kisah ini akhirnya akan menjadi kisah pujuk-memujuk yang dilihat romantik di mata pembaca sedangkan ia merupakan jenayah di sisi undang-undang.

Pembaca pula berasa begitu khayal apabila pengarang dapat menggugah hati dan perasaan mereka. Pada hemat pembaca yang menjadi mangsa atau yang mempunyai hati naluri yang sama, novel popular merupakan sebuah novel yang begitu memahami rajuk dan derita yang sedang dialami. Malah babak pujuk-memujuk dan romantik watak “hero” dalam menawan semula hati watak “heroin” itulah yang menjadi idaman dalam pengakhiran kehidupan realiti pembaca.

Tidak dinafikan bahawa novel popular Melayu mempunyai fungsi dan kekuatannya yang tersendiri. Jika peminat karya “kesusasteraan budaya tinggi” menyatakan bahawa mereka dapat melarikan diri daripada kenyataan dengan menumpukan fikiran kepada bahan bacaaan tersebut (eskapisme), begitu juga dengan pembaca dan peminat novel popular Melayu. Realiti belum pernah memperlihatkan kebolehan pengarang kebelakangan ini menghasilkan sebuah karya sehingga mampu untuk meruntuhkan tembok pemisah antara dua khalayak pembaca.

Maka, sudah tiba masanya pengarang novel popular Melayu mencuba rencah lain dalam resepi melariskan bahan bacaan tersebut. Mungkin peleraian kisah dalam novel popular Melayu perlu diteliti semula. Adakah pengarang mahu mendidik pembaca supaya setia dengan kekejaman tanpa mencari jalan keluar daripada kemelut keganasan? Watak wanita dalam novel popular Melayu pada akhirnya perlu mendongakkan wajah dan maju ke hadapan. Memaafkan kejahatan orang merupakan sikap yang terpuji, tetapi jatuh dan terperangkap ke dalam gaung yang sama berkali-kali merupakan suatu malapetaka.

Pada masa yang sama, watak penjenayah juga tidak perlu lagi menjadi pemain simbol romantis untuk meleraikan cerita. Watak penjenayah harus dibawa ke muka pengadilan. Pengarang jangan lagi menjadi penyusun takdir watak mangsa dengan membuatkannya jatuh cinta kembali apabila dipujuk watak penjenayah. Cukuplah realiti telah berlaku kejam kepada mangsa jenayah keganasan rumah tangga yang sering termakan pujuk rayu. Elakkan membawa kekalahan tersebut sehingga ke dalam fantasi. Hentikan mempengaruhi pemikiran pembaca bahawa dipujuk dirayu merupakan babak-babak romantis. Kerana realitinya amat perit untuk dilalui oleh mana-mana manusia berumah tangga.

Jika membalas dendam merupakan perbuatan dosa, cukuplah dengan memberi keadilan kepada mangsa.

 

 


Pengarang :