Pembinaan Rumah Selangorku menjadi keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat di negeri ini berpeluang memiliki kediaman sendiri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Selangor lulus pembinaan lebih 25,000 Rumah SelangorKu – EXCO

SHAH ALAM, 12 DIS: Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan 27,951 unit Rumah SelangorKu Harapan setakat 30 November lalu.

EXCO perumahan berkata sebanyak 10 projek bakal dilaksana mengikut fasa bermula awal tahun depan serta dijangka siap pada 2023 dan 2024.

“Selangor turut memperkenalkan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik yang membolehkan pemaju meminda syarat Rumah SelangorKu jenis A, B, C dan D kepada E khas.

“Inisiatif ini dijangka bakal menambah 30,000 unit rumah tersebut berkeluasan 92.9 meter persegi dengan harga jualan tidak melebihi RM250,000 seunit dalam tempoh tiga tahun,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata rumah diperkenal Kerajaan Negeri itu turut mempunyai kelengkapan sama dengan Rumah Idaman seperti penghawa dingin, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air.

Pada 30 Oktober Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemaju dibenar meminda syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C dan D kepada E melalui Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik bertujuan merancakkan semula sektor pembinaan yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut konsep asal projek perumahan itu dijual pada harga jualan antara RM42,000 sehingga RM250,000 dengan variasi lima jenis iaitu jenis A, B, C, D dan E berkeluasan antara 65 sehingga 92.9 meter persegi.


Pengarang :