BUDAYARENCANA

Pengalaman empar sedekad Fadilah Karim

Oleh Zahid M Naser

SAYA mengambil sedikit masa untuk menulis karangan kecil ini, kerana pengalaman menonton pameran A Decade: Fadilah Karim (2010-2020) di Segaris Art Centre Publika tidak begitu menghaluskan mata kasar saya. Maka saya harus mencari sudut-sudut lain ketika mengamatinya.

Berulang kali saya merujuk nota. Tenaga saya mulai kering, namun jiwa harus optimis, saya pujuk agar jangan putus asa, (Zarah Terbit memang sedari awal telah diarahkan begitu). Fadilah Karim berhak untuk saya berikan waktu.

Malam ini, saya mulakan menulis. Saya mengingati semula pengalaman berdepan dengan karya-karya pelukis prolifik ini. Saya mahu mengingati detik-detik estetik yang saya rasakan saat berdepan dengan karya-karya skala besarnya. Detik estetik memang memiliki musuh – musuh detik-detik estetik adalah lencongan daripada perasaan yang sebenar-benarnya.

Saya mahu lontarkan perasaan yang jujur. Pengalaman yang tentunya dapat mengungkap kedirian saya.

Maka, apakah sudut yang saya cerap ketika mengalaminya? Apakah ia begitu penting diungkapkan? Bagi tujuan menghargai pengkarya yang saya fikir telah sedia memiliki kilatnya sendiri. Persoalan sedemikian perlu saya jawab dengan berusaha mengingati pengalaman berdepan dengan Fadilah Karim melalui karya-karyanya.

Naratif besar

Mengamati naratif besar daripada dekad karya Fadilah Karim sebetulnya mudah dan senang. Mudah, kerana saya tahu sebagai pelukis, tentulah dia telah pandai melorek berus dan membancuh warna (lebih-lebih lagi Fadilah mempelajarinya di universiti) – meneliti femur, tendon, kranium dan lain-lain. Dan kerana prolifiknya, sedikit sebanyak pandailah juga dia bercerita. Semua itu, bagi setiap pelukis sememangnya asam dan garam. Ia bukan sukar bagi seorang pelukis yang menguasai teknik lukisan.

Hal ini, barangkali boleh dibandingkan dengan orang yang saban hari menulis. Kemahiran menulis adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari oleh sesiapa pun – ia mudah dikuasai bagi orang yang sungguh-sungguh mahu menguasainya. Ia adalah aktiviti menyambung-nyambung ayat dan perkataan bagi menyampaikan tujuan dan maksud fikiran si penulis.

Namun, dalam ‘pergulatan artisan’ – Baik pelukis, mahu pun penulis (atau bahkan dalam cabang apa pun) – hal ini sedikit sebanyak memerlukan usaha yang lebih. Kadang-kadang kita berjaya, kadang-kadang kita gagal menguasai diri kita sendiri. Jika ini berlaku, adalah normal kemasyghulan dan kesedihan dirasakan pengkarya.

Jadi, kerana itu, tidak menghiraukan sudut-sudut teknikal. Saya mencari hal lain ketika menyaksikan A Decade: Fadilah Karim 2010-2020. Detik-detik estetik perlu saya rasakan dan alami penuh ekstasi, perlu menenggelamkan saya kerana perjalanan 10 tahun adalah kisah yang kompleks. Saya mahu lekuk dan keluk naratif yang mengujakan, dan lencongan tadi saya tak mahu tahu.

Saya mahu kejujuran-kejujuran dalam pengalaman saya. Dan juga kejujuran dalam dekad karya Fadilah.

Saya katakan pada benak akal saya, “Cari plot-plot kecil dari keseluruhan karya yang dipertontonkan!

“Cari pengalaman sedar-mula, ritma-gerak dan kualiti-kualiti yang bukan repetitif!”

Saya sedar kualiti estetik hanya menjelma ketika pengalaman itu dirasakan bersatu dalam setiap jiwa yang mengalaminya. Sehingga barangkali terbawa-bawa ke dalam mimpi. Namun, malang saya, ini tidak berlaku.

Jika penghabisannya dilihat lesu bahkan terbisu, karya itu sukar menarik jiwa estetik. Kerana ia memenggal kewahdahan, memancung fikiran. Seakan nikmat yang kita tak tahu dari mana kita rasakan – saya percaya nikmat yang sempurna adalah nikmat yang kita berjuang untuknya, yang sukar kita genggam. Itulah maksud saya tentang kelencongan artisan yang sering membaham rakus kedirian. Kita lebih menikmati kehidupan apabila ia dikerjakan sepenuh jiwa dan raga. Separuh jiwa boleh menjadi satu lagi musuh detik-detik pengalaman estetik.

Mencerap realiti

Menyerap realiti memerlukan usaha pemusatan diri dalam ketunggalan. Fadilah hanya mencerap realiti dirinya sendiri. Idea-idea dari luar fikirannya tidak begitu tercerna. Reaksinya terlihat pasif. Ada ‘secalit’ ketakutan atau kebimbangan daripada pelukis kita ini.

Kerana itu, pengamatannya tidak menjentik jiwa pengembara seperti saya. Kembaranya tidak berbukit malah mengempar-ngempar. Terlalu mengufuk. Mengalaminya, tidak membuat saya puas dan menjadi lebih kukuh.

Mungkin dekad yang dipertontonkan ini boleh kita kirakan sebagai ‘pemanasan badan’. Saya atau kita mungkin perlu berdoa agar permulaan dekad yang baru saja menjengah ini – menjadi dekad karya yang menjangkau tempoh pemanasan badan si pengkarya.

Kerana, seperti yang saya katakan, setiap pelukis memang memiliki ‘kilatnya’ yang tersendiri. Tinggal lagi, dia mungkin perlu menempa kilat itu dengan pemerhatian yang mendakap kedalaman dan kedangkalan yang ada. Saya mahu menikmatinya, mahu mengalaminya dengan penuh debaran.

Untuk Fadilah, saya menunggu dekad itu!

 


Pengarang :