Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa dibuka tinggi sebelum susut dirangsang jualan aktif

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Bursa Malaysia dibuka kukuh seketika pada pagi urus niaga Isnin sebelum menyusut selepas indeks utama terjejas oleh aktiviti jualan membabitkan kaunter perbankan berwajaran tinggi, didahului oleh Maybank dan Public Bank.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.04 mata atau 0.13 peratus kepada 1,582.89 daripada 1,584.93 ketika ditutup pada petang Jumaat minggu lepas.

Indeks utama dibuka 2.58 mata lebih tinggi pada 1,587.51.

Pergerakan harga pasaran bagaimanapun positif dengan sentimen pasaran secara keseluruhannya dirangsang oleh ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada Ahad.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 404 berbalas 219 manakala 323 kaunter tidak berubah, 1,250 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 807.75 juta unit bernilai RM308.36 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd percaya pelancaran vaksin kebangsaan pada Rabu yang lebih awal daripada dijadualkan, diikuti dengan penurunan jumlah kes Covid-19 membantu meningkatkan sentimen pasaran.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM7.99, Public Bank menyusut dua sen kepada RM4.11, Petronas Chemicals jatuh lapan sen kepada RM7.41, Top Glove lebih rendah 16 sen kepada RM5.89 sementara Tenaga meningkat lima sen kepada RM9.93.

Saham paling cergas pula, waran Dagang Nexchange naik empat sen kepada 34.5 sen, EA Holdings dan Velesto, masing-masing menokok setengah sen kepada lima sen dan 17.5 sen, Nexgram satu sen lebih kukuh kepada lima sen dan OCK Group menambah 4.5 sen kepada 56 sen.

Saham yang mencatatkan keuntungan tertinggi ialah MPI, naik 36 sen kepada RM38.76 sementara MI Technovation saham paling rugi, merosot 34 sen kepada RM4.64.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 4.06 mata kepada 11,645.67, Indeks FBMT 100 memperoleh keuntungan kecil sebanyak 0.22 mata kepada 11,320.56 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 6.53 mata kepada 13,125.62.

FBM 70 meningkat 57.17 mata kepada 15,416.52 dan FBM ACE mengembang 61.34 mata kepada 11,309.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 47.68 mata kepada 14,825.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.24 mata kepada 182.03 sementara Indeks Perladangan mengukuh 8.76 mata kepada 7.197.81.

– BERNAMA


Pengarang :