Peserta mengimbas kod QR sebelum membuat saringan ketika program Saringan Komuniti Bersasar secara percuma di Dewan Serbaguna MPAJ, Ampang pada 28 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selcare: Saringan Komuniti di IPT bermula selepas Aidilfitri

AMPANG, 28 MAC: Saringan Komuniti di institusi pengajian tinggi (IPT) Selangor dijangka dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Pengurus Klinik Selcare berkata saringan menggunakan kaedah kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) secara percuma menyasarkan anak Selangor yang menuntut di institusi awam dan swasta.

“Mengikut perancangan, kita mahu laksana selepas puasa. Namun, perkara ini masih dalam perbincangan kerana perlu meneliti kaedah untuk masuk ke institusi berkenaan.

“Buat masa ini, kita belum mengenal pasti institusi berkaitan. Tarikh pelaksanaan akan dimuktamad selepas perbincangan,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kampung Pandan di sini hari ini.

Mohd Noor berkata, pihaknya juga akan mempertimbang bilangan mahasiswa bagi pelaksanaan program itu selari dengan peruntukan disediakan.

“Justeru, mahasiswa diharap tidak mensia-siakan peluang yang ditawarkan dan memaklumkan kepada kenalan di kolej masing-masing untuk membuat saringan,” katanya.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan saringan berkenaan di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas, kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.


Pengarang :