Foto Bernama.com
AGENDANASIONAL

Ibu tunggal maut ditikam depan dua anak

IPOH, 15 APRIL: Seorang wanita maut disyaki ditikam dalam pergaduhan dengan seorang lelaki di hadapan dua anak mangsa di kediamannya di Taman Perpaduan di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai pergaduhan antara mangsa berusia 31 tahun dan suspek berusia 23 tahun itu pada kira-kira pukul 8.45 malam.

“Sebaik tiba di rumah itu, polis menemui mayat mangsa dengan beberapa kesan tikaman pada dada bersama suspek lelaki yang turut cedera akibat beberapa tikaman pada dadanya dalam keadaan terbaring dan berdarah di dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di sebuah rumah jagaan orang tua di sini merupakan seorang ibu tunggal dan tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek malah polis sebelum ini pernah menahan suspek pada 15 Mac lepas dan didakwa di mahkamah selepas mangsa beberapa kali membuat laporan diganggu suspek.

Anuar berkata suspek telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan lanjut dan ditempatkan di Zon Merah namun belum dapat dipastikan sama ada tikaman di dadanya dilakukan wanita itu atau dia cuba membunuh diri manakala mangsa dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan rakaman percakapan saksi-saksi kejadian serta kedua-dua anak lelaki mangsa berusia enam dan lapan tahun sedang dijalankan termasuk bagi mengetahui hubungan sebenar mereka,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-BERNAMA


Pengarang :