Selangorkini
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Ikat perut demi keluarga, asnaf keluar kemiskinan

Ketika berusia 18 tahun, anak keempat daripada 11 beradik tidak sabar-sabar mahu mendaftar kursus pengimpal bertauliah di Sirim Training Services (STS), Shah Alam.

Namun, jangankan kos tiga bulan latihan berbelas ribu, tambang dari Bukit Beruntung ke Shah Alam pun keluarga Syed Mohd Hazlan Tarmizi Sayed Mohamad Molana tidak mampu. Mujur ibu saudaranya meminjamkan wang.

Ibunya yang ketika itu mencecah usia 47 tahun hanya warden sekolah tahfiz. Sejak bapa meninggal dunia pada 2011, mereka sekeluarga menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mujur LZS menawarkannya bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi Kategori Projek Khas Kemahiran dan Kerjaya berjumlah RM18,000 buat menampung belanja sepanjang latihan.

Kini Syed Mohd Hazlan Tarmizi, 21, bekerja di syarikat pembinaan dan kejuruteraan di Pulau Pinang. Mampu menyara kehidupan sendiri, bahkan membantu ibu dan adik-adiknya. Tidak lagi mengharapkan bantuan.

Jimat-cermat

Syed Mohd Hazlan Tarmizi masih ingat. Ketika fikirannya kusut memikirkan tambang, ibunya meminjam wang daripada ibu saudaranya. Terharu bukan kepalang. Hampir menitis air matanya.

LZS pula menawarkan elaun RM1,500 sebulan untuk latihan tersebut. Namun, Syed Mohd Hazlan Tarmizi berjimat cermat, hanya menggunakan RM300 sahaja untuk makan minum. Selebihnya dihulur buat ibu untuk menampung perbelanjaan harian.

Sepanjang berkursus pula, beliau menjalankan perniagaan burger di Dataran Shah Alam bagi menambah wang saku.

“Syukur dengan RM300 ditambah lagi hasil berniaga kecil-kecilan dapatlah tampung kehidupan saya di asrama,” katanya kepada Selangorkini.

Lagipun, membuat kerja sambilan memang rutin kehidupan Syed Mohd Hazlan Tarmizi sejak berusia 12 tahun. Macam-macam dilakukannya, bekerja di kedai makan, mengambil upah di bengkel motor dan kedai mencetak kemaja-T.

Justeru, beliau bertekad tidak mahu mensia-siakan peluang menambah kemahiran di pusat latihan tersebut. Baginya, inilah peluang terbaik buat membantu ibu mengubah kehidupan keluarga dari belenggu kemiskinan.

“Kesusahan yang kami lalui menjadikan saya lebih gigih menimba ilmu bagi membantu keluarga kerana saya tahu hanya dengan pelajaran mampu mengubah kehidupan kami sekeluarga.

“Alhamdullilah, dengan bantuan LZS dan yang penting sekali doa ibu, saya berjaya menamatkan kursus dan mendapat pekerjaan sesuai,” katanya.

Syed Mohd Hazlan Tarmizi yang masih bujang menunjukkan kegigihannya sehingga mendapat perhatian majikan. Tidak sampai enam bulan, beliau dinaikkan pangkat sebagai pengawal kualiti.

Bantu ibu

Walau gaji tidak besar mana, sumbangan bulanan Syed Mohd Hazlan Tarmizi banyak membantu ibunya menyara keluarga terutama adiknya yang bersekolah.

Dua orang masih bersekolah rendah, darjah lima dan enam. Empat lagi tingkatan satu, dua, empat dan lima.

Pencapaiannya dalam pekerjaan sehingga membawa keluarganya keluar daripada status asnaf malah melayakkan beliau sebagai penerima anugerah pelajar berjaya oleh LZS pada 2019.

Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS menegaskan mereka bukan sekadar menghulur bantuan sara hidup, malah membimbing asnaf keluar daripada kemiskinan dan mampu berdikari tanpa mengharapkan zakat.

Kaedah itu digunakan sama ada membantu mereka memulakan perniagaan atau bantuan pendidikan dalam akademi mahupun kursus kemahiran.

“Syed Mohd Hazlan Tarmizi merupakan salah satu contoh bagaimana bekas asnaf berusaha membantu keluarga keluar daripada kemiskinan dengan meningkatkan kemahiran.

“Kami melihat potensi setiap individu, misalnya jika seseorang itu pandai memasak dan minat berniaga kami beri mereka kursus memasak serta mengendalikan makanan sebelum diberi bantuan perniagaan,” kata Abdul Basith Hamid.

Pelbagai latihan kemahiran lain disediakan seperti kursus menjahit, membaiki motosikal, pertukangan paip, pengimpal, bidan dan lain-lain mengikut minat masing-masing supaya golongan ini boleh berniaga atau dapat pekerjaan dengan pendapatan lebih baik.

Pada 2018, seramai 4,882 keluarga asnaf fakir dan miskin berjaya dibantu LZS keluar daripada belenggu kemiskinan diikuti 3,372 pada 2019 dan 2,345 pada 2020.

 


Pengarang :