Petugas kesihatan Selcare mengambil sampel ujian menggunakan kit pantas antigen (RTK-Ag) ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Masyarakat Bandar Kinrara 2, Puchong pada 22 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Manfaatkan saringan percuma, elak jadi ‘pembawa senyap’

SHAH ALAM, 23 MEI: Golongan muda disaran memanfaatkan Saringan Komuniti Covid-19 susulan peningkatan kes melibatkan kelompok tersebut.

Muhammad Syafiq, 21, berkata dirinya terpanggil menyertai saringan percuma itu kerana enggan menjadi ‘pembawa senyap’ wabak dalam komuniti.

“Banyak kes menunjukkan orang muda tiada gejala tetapi dikesan positif menerusi saringan, ini yang dibimbangkan,” katanya ditemui di Dewan Masyarakat Bandar Kinrara 2, semalam.

Amalina Fatin Rusli

Pandangan sama dikongsi Amalina Fatin Rusli, 31, yang hadir bersama suami dan tiga anak berumur sembilan, lima dan dua tahun.

“Kami ambil peluang menjalani saringan meskipun bukan kontak rapat kes positif dan sepatutnya orang ramai menyertai inisiatif saringan percuma,” katanya.

Sementara itu, Nabilah Mat Salleh, 31, tekad hadir ke pusat saringan selain membawa anak berusia tiga bulan dan enam tahun.

“Suami saya ada urusan kerja di negeri lain, jadi hari ini saya bawa anak-anak sebab bimbang dengan peningkatan kes dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Lam Chui Kam Helen, 56, pula berharap saringan percuma ini diteruskan dari semasa ke semasa.

Lam Chui Kam Helen

“Program seperti ini perlu diteruskan kerana kebanyakan rakyat tidak mampu bayar kos saringan di hospital swasta,” katanya.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :