Halimey Abu Bakar beramah mesra bersama penerima vaksin ketika meninjau program Selvax DUN Seri Setia di Dewan PKNS SS7, Kelana Jaya pada 23 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

2,000 penduduk Seri Setia daftar untuk vaksin Selangor

KELANA JAYA, 23 JULAI: Seramai 2,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia telah mendaftar program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti setakat ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata jumlah tersebut direkodkan sejak 30 Jun dan pendaftaran masih dibuka dengan mereka yang belum mendapat janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19 boleh berbuat demikian pada program Selvax DUN tersebut hari ini.

“Kita mengalu-alukan kerana Selvax Komuniti ini terbuka kepada semua golongan tidak kira bangsa tetapi keutamaan kepada penduduk DUN ini,” kata Halimey Abu Bakar ketika ditemui SelangorKini di Program Selvax DUN Seri Setia di sini.

Program suntikan vaksin itu dilaksanakan mulai jam 9.30 pagi sehingga 7 malam di Dewan PKNS SS7, Kelana Jaya.

Menurut Halimey, kaedah dijalankan adalah memaklumkan kepada penduduk berhubung program itu menerusi edaran pesanan di aplikasi WhatsApp dan media sosial.

“Setakat ini saya dimaklum ramai yang telah mendapat vaksin dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rata-ratanya adalah warga emas serta mereka belum divaksin diminta segera mendaftar demi membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Maklumat lanjut mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman web https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.


Pengarang :