Peniaga menyiapkan tempahan makanan melalui Plats dan Grab pada program e-Dapur Selangor di Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBPJ beri 168 permit niaga bantu individu hilang kerja

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebanyak 168 permit niaga dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membantu penjaja yang semakin bertambah akibat desakan hidup.

Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan menyebut pemberian lesen bawah dasar PKP/PKPD membabitkan lapan kawasan zon ahli majlis setakat 6 Julai.

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, jenis jualan yang diberikan permit termasuk makanan, minuman dan buah-buahan.

“Konsep pemberian permit ini dibahagikan kepada dua iaitu secara penyusunan (lokasi yang dikhaskan) dan secara in situ (memberi permit di tempat asal),” katanya.

Bagi permit berkonsepkan penyusunan, MBPJ menjelaskan penjaja akan ditempatkan dalam satu kawasan dan disusun mengikut proses cabutan undi petak.

Sementara konsep in situ pula diberikan untuk penjaja yang tidak mendirikan struktur kekal, tidak meninggalkan barang perniagaan dan tidak membuat halangan di lokasi.

“Pemberian permit ini juga akan diperluas lagi ke seluruh Petaling Jaya iaitu ke 24 kawasan zon ahli majlis secara berperingkat.

“Majlis berharap inisiatif ini dapat meringankan kesusahan dan keperitan masyarakat yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa menjaja di tepi jalan untuk menjana pendapatan,” kata PBT itu.

Antara kawasan yang diberikan permit setakat ini ialah zon 17 sebanyak 86 permit, zon 24 (37), zon 15 (enam), zon 21 (17), zon 3 (15), zon 8 (lima) dan dua di zon 9.


Pengarang :