Selangorkini
Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan menyampaikan bantuan makanan kepada seorang petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19 Shah Alam pada 24 Jun 2021. Foto MBSA
PBT SELANGOR

PBT Selangor tingkat edaran bantuan makanan kepada masyarakat

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor mengambil inisiatif meningkatkan pengedaran bakul makanan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan bantuan Bakul Prihatin dengan menyediakan 2,700 pek makanan untuk diagihkan kepada bekas kakitangannya, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), operator taska dan wartawan serta jurugambar sambilan.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata penambahan bantuan itu bagi memastikan tiada masyarakat terputus makanan dan diagihkan secara berperingkat bermula esok.

“Kita percaya ramai terkesan terutama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sumbangan makanan perlu diperluaskan supaya semua menerima manfaat.

“Bagi individu yang ingin turut sama membantu, mereka boleh membeli baucar bakul makanan bernilai RM10, RM30,RM50 di Pasaraya 99 Speedmart,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

 

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) membantu golongan terkesan melalui ahli majlis dan pengurusannya agar tiada pihak tercicir menerima bantuan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata pengurusan MDKS mengagihkan bantuan makanan kepada komuniti strata manakala ahli majlis menyumbang kepada penduduk.

“Sejak sumbangan ini diperkenalkan pada 14 Jun sebanyak 200 bakul makanan diagihkan. Bantuan diteruskan esok dengan 300 lagi diberikan kepada keluarga terjejas.

“Ia digerakkan melalui dua pasukan diketuai saya sendiri dan satu lagi Setiausaha MDKS, Yusli Askandar,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyediakan bekalan bank makanan di dua lokasi iaitu Petron Taman Ehsan dan Jalan 13, Desa Jaya.

“Bank makanan itu disediakan Ahli majlis Zon 24, Fok Wai Mun bagi meringankan beban masyarakat sepanjang tempoh PKPD.

“Sekecil-kecil sumbangan ternyata besar nilainya kepada yang memerlukan. Sekiranya terdapat pihak yang ingin turut serta amat dialu-alukan,” katanya menerusi Facebook.

PKPD dikuat kuasa membabitkan 34 mukim di lapan daerah di negeri ini selama 14 hari bermula Sabtu lalu hingga 16 Julai.


Pengarang :