Selangorkini
Ng Sze Han ketika sesi soal jawab sempena persidangan Dewan Negeri Selangor pada 2 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

KPKT lulus RM124,000 baik pulih Pangsapuri Teluk Gedung Indah

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan sebanyak RM124,000 bagi membaik pulih Pangsapuri Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata dana yang diluluskan pada 30 April akan digunakan untuk membaiki pemegang tangga di dua blok pangsapuri berkenaan.

“Kerja-kerja pembaikan dalam proses pelantikan kontraktor yang dimuktamadkan pada September,” katanya menjawab pertanyaan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

“Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga tidak bercadang untuk memindahkan penduduk sekiranya kerja pembaikan dilaksana, namun perkara ini akan disemak dari semasa ke semasa.”

Pada 18 Februari, Majlis Tindakan Negeri Selangor memanjangkan permohonan dana MPK sebanyak RM5.75 juta kepada menteri KPKT bagi membaik pulih pangsapuri berkenaan.

Permohonan itu bagi membaiki mendapan tanah, struktur bumbung dan konkrit, lantai, mengecat bahagian luar bangunan, bumbung dan kerosakan am serta pendawaian elektrik.

Sementara itu, EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata pihaknya akan terus mendesak KPKT supaya menyediakan peruntukan khas bagi membaik pulih kerosakan tersebut.

“KPKT memaklumkan mereka tiada peruntukan khas untuk perkara tersebut dan ini menyebabkan pangsapuri ini terus mengalami mendapan.

“Kita akan terus mendesak supaya ada tabung khas untuk menyelesaikan masalah tidak selamat bagi semua tempat di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk Pangsapuri Taman Teluk Gadung Indah resah apabila mendapan tanah di sekitar bangunan berkenaan semakin teruk sejak beberapa tahun lalu.


Pengarang :