Beberapa anggota Hazamat melakukan siasatan susulan kejadian dua wanita sesak nafas manakala segelintir besar penduduk di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Johor Bahru, keluar dari kediaman masing-masing selepas terhidu bau busuk pada 15 Sept 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Empat individu ditahan, lupus sisa buangan toksik punca penduduk sesak nafas

JOHOR BAHRU, 15 SEPT: Empat individu termasuk pemilik premis yang dipercayai terlibat dalam pelupusan secara haram bahan buangan terjadual sehingga memaksa segelintir penduduk di Kampung Baru Sri Aman Seelong keluar dari kediaman malam tadi, ditahan pagi ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengesahkan tangkapan berkenaan berkata keempat-empat lelaki warga tempatan itu ditahan pihak Jabatan Alam Sekitar kira-kira 11.30 pagi tadi, di premis berkenaan, tidak jauh dengan lokasi kejadian.

Beliau berkata susulan kejadian pelupusan haram itu, empat mangsa kesemuanya perempuan berusia antara 24 hingga 49 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan lanjut ekoran mengalami masalah sesak nafas.

“Kita bersama JAS telah pun membuat tangkapan empat orang termasuk pemilik premis yang disyaki terlibat dalam insiden pembuangan sisa toksik ini.

“Maklumat selebihnya kita akan bagi kemudian sebab tangkapan baru sahaja dilakukan tadi. Pihak polis akan beri bantuan sepenuhnya kepada pihak JAS untuk operasi susulan, mungkin ada lagi lokasi-lokasi yang kita perlu periksa serbu dan mungkin ada tangkapan-tangkapan yang kita perlu buat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor Dr Mohd Famey Yusoff yang ditemui di lokasi berkenaan berkata proses pensampelan di kawasan tercemar telah dilakukan dan sampel yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia, sama ada di Melaka atau Petaling Jaya untuk dianalisis.

“Pada masa ini, kita tidak boleh menentu pasti apakah bahan yang dibuang sebenarnya. Bagaimanapun, kita telah dapat kenal pasti puncanya (cuma) kita tak boleh maklumkan dulu, ia mesti melalui analisis makmal.

“Pada ketika ini, pegawai kita dan pihak polis akan buat serbuan ke premis-premis yang dipercayai melakukan pelupusan secara haram,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan pemantauan 24 jam dari sekarang bagi memastikan bahan kimia berkenaan tidak membahayakan penduduk sekitar.

“Ketika ini seperti yang semua maklum, tiada bau dan sebagainya dan tiga jenis bahan kimia di udara (dikesan) yang kita cerap bacaannya tahap 0.6 hingga 1 ppm (bahagian setiap juta) jadi ia sangat rendah, kurang dan minimum.

“Oleh itu, kita akan pantau untuk pastikan tidak berlaku peningkatan dan sekaligus untuk kita beri keyakinan kepada penduduk kawasan tersebut selamat,” kata Mohd Famey.

-BERNAMA


Pengarang :