Ir. Izham Hashim ketika menyerahkan enjin sangkut 40 kuasa kuda kepada Zainuddin Kondong ketika gimik Penyerahan Bantuan Nelayan di jeti pangkalan nelayan Batu 23, Sabak Bernam pada 10 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Impian nelayan miliki enjin sangkut 40 kuasa kuda tercapai

SABAK BERNAM, 11 SEPT: Impian seorang nelayan dari Tanjung Karang untuk memiliki enjin sangkut 40 kuasa kuda (kk) akhirnya tertunai selepas menerima peralatan itu sumbangan Kerajaan Selangor, semalam.

Zainuddin Kondong, 53, bersyukur kerana penantian dua tahun untuk memperoleh enjin sampan jenis merkuri tidak sia-sia, apatah lagi belum menerima sebarang bantuan selama ini.

Bapa lima anak berkata sejak tiga dekad menjalankan pekerjaan itu, dia hanya bergantung dengan dua unit enjin 30 kk jenis sama dan sering mengalami kerosakan di tengah laut.

“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih atas bantuan ini. Kalau beli sendiri memang tidak mampu kerana kosnya mungkin mencecah RM10,000.

“Jadi dengan adanya enjin baharu berkuasa tinggi, saya boleh turun ke laut dengan selamat tanpa gangguan malah pergi lebih jauh dan pantas berbanding kebiasaan,” katanya kepada Selangorkini.

Zainuddin antara tiga nelayan menerima alat tersebut pada program penyerahan bantuan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 di Jeti Pengkalan Nelayan Batu 23, Sungai Nibong dekat sini yang disampaikan EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim.

Seramai 101 nelayan dari lima persatuan nelayan kawasan (PNK) memperoleh bantuan input merangkumi sistem kedudukan sejagat (GPS), kotak berinsulasi, jaket keselamatan, kit pertolongan kecemasan, lampu kelip-kelip dan beg kalis air.

Selain itu, tiga nelayan dari PNK Sungai Besar, Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mendapat sampan fiber 21.

Sementara itu, Saaril Ahmad, 27, tidak menyangka dan berasa bertuah kerana terpilih menerima bantuan sampan sekali gus memudahkan aktiviti penangkapan hasil laut untuk dipasarkan.

Anak ke-11 daripada 12 beradik berkata sampan kayu sedia ada yang digunakan sejak 10 tahun lalu sering mengalami kerosakan sehingga membantutkan rutin hariannya.

“Saya mohon bantuan tiga bulan lepas dan agak teruja memandangkan tidak pernah terima apa-apa bantuan sebelum ini.

“Mungkin selepas ini saya boleh cuba tangkap ikan di kawasan tengah pantai pula, tidak lagi di pesisir kerana saiz sampan lebih besar,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Haji Dorani.

Bagi penerima peralatan perikanan Saini Roslan, 70, bantuan tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap nelayan yang majoritinya tidak mampu membeli sendiri keperluan berkenaan.

“Sebenarnya saya tidak buat permohonan mendapatkan peralatan berkaitan, tetapi dua hari lepas pengurus PNK Sungai Besar hubungi agar tampil pada program ini. Syukur kerana Kerajaan Negeri sudi sediakan peralatan ini,” katanya.


Pengarang :