Selangorkini
Pantai Bagan Lalang menerima kunjungan orang ramai sejak dibuka semula pertengahan September 2021. Foto Facebook Pantai Bagan Lalang Sepang
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Jumlah kutipan sampah di Bagan Lalang naik berganda hujung minggu

SEPANG, 25 SEPT: Kutipan sampah di Pantai Bagan Lalang di sini meningkat tiga kali ganda sejak kawasan itu dibuka kepada orang awam, dua minggu lalu.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Sepang berkata jumlah itu naik ketara pada hari minggu iaitu sekitar tiga tan berbanding satu tan pada hari biasa.

“Berlaku peningkatan sampah sehingga tiga kali ganda pada hujung minggu selepas orang ramai mula dibenarkan mengunjungi pantai ini.

“Setakat ini sebanyak 30 tong disediakan dan kita turut mengarahkan KDEB Waste Management untuk meningkatkan kerja kutipan khusus pada hujung minggu,” kata Datuk Abd Hamid Hussain.

Beliau yang ditemui selepas meninjau tatacara operasi piawai (SOP) Pantai Bagan Lalang hari ini turut menasihatkan orang ramai sentiasa menjaga kebersihan kawasan pelancongan itu.

Berdasarkan pemantauan pihak berkuasa di lokasi itu, seramai 2,968 pengunjung direkodkan antara 16 hingga 24 September selepas kerajaan memberi kelonggaran buat individu lengkap vaksin merentas daerah.

Kemudahan itu khusus buat negeri yang berada dalam fasa dua hingga empat Pelan Pemulihan Negara.

 


Pengarang :