Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam memeriksa sebuah kenderaan terkandas di dalam banjir di Seksyen 13 pada 26 Sept 2021. Foto ihsan JBPM Selangor
AGENDANASIONAL

Shah Alam dilanda banjir kilat

SHAH ALAM, 26 SEPT: Beberapa kawasan sekitar bandaraya ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima laporan beberapa kawasan dinaiki air selepas hujan lebat sejak jam 3 petang dengan lokasi paling teruk terjejas di sekitar kawasan Stadium Shah Alam di Seksyen 13.

Kawasan sekitar Seksyen 13 yang dinaiki air selepas banjir kilat melanda Shah Alam pada 26 Sept 2021. Foto Facebook

Menurutnya beberapa laluan di sekitar kawasan itu dinaiki air sehingga empat kaki menyebabkan sebuah kenderaan terkandas dalam banjir kilat namun pemandunya sempat menyelamatkan diri.

“Namun keadaan air di kawasan itu juga kini juga sudah mulai surut dan terkawal,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail memaklumkan beberapa kawasan diwakilinya itu dinaiki air dan meminta penduduk terbabit menjaga keselamatan.

Dalam pada itu, Jalan Persiaran Jubli Perak turut digenangi air kira-kira setinggi 0.3 meter yang merupakan laluan antara dari Lebuh Raya Persekutuan ke Seksyen 20.

 

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) GCE di Twitternya turut berkongsi gambar di laluan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menuju ke Tol Shah Alam yang mana hanya satu lorong dibuka untuk kenderaan berikutan laluan digenangi air.

 

Sementara itu, penduduk sekitar bandaraya ini berkongsi keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan perumahan sekitar Seksyen 9, Seksyen 10, Seksyen 4 dan Seksyen 7.

Mengikut perkongsian itu, turut berlaku kesesakan lalu lintas apabila beberapa laluan dinaiki air.


Pengarang :