Selangorkini
Sebahagian ibu bapa membawa anak mendaftar bagi menerima suntikan pelalian Covid-19 ketika progam vaksinasi remaja dan murid berkeperluan khas daerah Kuala Selangor di Stadium tertutup Kuala Selangor pada 29 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 25,000 pelajar sekolah di Petaling Perdana terima dos kedua

SHAH ALAM, 18 OKT: Lebih 25,000 pelajar tingkatan empat dan lima dari seluruh sekolah di Petaling Perdana menerima suntikan dos kedua vaksin.

Suntikan di bawah kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja itu dilaksanakan mulai hari ini sehingga 29 Oktober.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap pelajar lebih dilindungi apabila lengkap vaksin.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas mengedarkan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam pada 18 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ribuan pelajar sekolah di negeri ini bakal menerima dos kedua dan apabila selesai tempoh vaksinasi nanti kita harap pelajar dapat memulakan sesi pembelajaran seperti biasa.

“Namun, jangan dilupa pematuhan SOP (tatacara operasi piawai) menjadi keutamaan demi keselamatan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 di sini pagi tadi.

Amirudin sempat meluangkan masa kira-kira setengah jam di luar kawasan sekolah itu untuk mengedarkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada pelajar.

Pada 23 September, pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 399 sekolah negeri ini terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sekolah terlibat meliputi institusi kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dan sekolah swasta.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia menyasar 80 peratus remaja di seluruh negara lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka.


Pengarang :