Aksi persembahan peserta ketika menyertai Festival Buskers 2020 sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-20 berlangsung di SACC Mall, Shah Alam pada 23 Februari 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Galeri seni moden bakal diwujud di Shah Alam

SHAH ALAM, 26 NOV: Galeri Seni Kontemporari dan Moden Shah Alam (SAMA) bakal diwujudkan di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata galeri itu bakal mempamerkan karya seni dan menjadi pusat aktiviti kebudayaan.

“Kerajaan Negeri setuju membeli sebuah kompleks bangunan milik Bank Negara di tengah bandaraya Shah Alam berharga RM33.4 juta untuk dijadikan SAMA.

“Pada tahun 2019 saya mencadangkan untuk wujudkan galeri ini dan ia bakal menjadi mercu tanda kebudayaan baharu di Selangor pada 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM1.2 juta bagi mempelbagaikan aktiviti program kebudayaan sekali gus membantu promosi golongan seni yang rata-ratanya terkesan akibat Covid-19.

Menurutnya, sebelum ini Kerajaan Negeri melaksanakan program Kita Buskers Selangor dan Senandung Da’i yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 penggiat seni jalanan dan nasyid.

“Justeru, pada 2022 Kerajaan Negeri berhasrat memperluaskan aktiviti di bawah Program Rentak Selangor yang sinonim kepada negeri Selangor seperti menerapkan perkembangan kebudayaan tradisi lisan seperti syair, pantun, gurindam dan puisi termasuk qasidah dan berzanji,” katanya.

 


Pengarang :