Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan buku pembentangan Belanjawan Selangor 2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor perkenal program perkongsian data, tingkat kecekapan agensi

SHAH ALAM, 26 NOV: Sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi pembangunan platform Perkongsian Data Negeri Selangor (SELGDX) tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan platform perkongsian data antara agensi Kerajaan Negeri dan sektor awam mengambil masa tiga tahun bermula 2021 hingga 2023.

Beliau menjelaskan SELGDX mampu mengurangkan pertindihan pembangunan dan kos penyelenggaraan infrastruktur selain memperkukuh peranan agensi.

“SELGDX menawarkan perkhidmatan broker data terdiri daripada himpunan piawaian, alat, repositori dan pendaftaran yang membolehkan perkongsian data merentas agensi dalam Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Kajian pembangunan platform SELGDX merujuk kepada prinsip asas dan kerangka operasi pusat perkongsian data sektor awam (MyGDX) dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) pada Mei 2018.

Ia bertujuan supaya perkongsian data antara agensi kerajaan dan sektor awam dapat diperluas melalui infrastruktur yang diselaras secara terurus selain memacu ke arah penyampaian perkhidmatan lebih berhemat.


Pengarang :