BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Dari peguam ke wakil rakyat, ADN Sungai Ramal didik rakyat politik matang

Meminati kerjaya sebagai peguam sepenuh masa, Mazwan Johar tidak terlintas untuk terjun dalam bidang politik apatah lagi berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Namun, kepincangan pentadbiran negara mendorong anak kelahiran Alor Setar itu untuk membela nasib rakyat hingga diberi kepercayaan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal.

Mengakui berdepan pelbagai cabaran, Mazwan berusaha mewujudkan masyarakat harmoni dan berkhidmat sebaik-baiknya. Wartawan SITI ROHAIZAH ZAINAL mewawancara pemimpin berusia 54 tahun ini untuk mengupas pengalaman dan pembaharuan selama hampir sepenggal berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Boleh jelaskan punca terjun ke dunia politik sedangkan YB memiliki kerjaya sebagai peguam?

Sebelum menjadi wakil rakyat, kerjaya saya sebagai peguam sivil pada 1993. Itu cita-cita saya dan alhamdulillah berjaya. Saya mula membuka pejabat perintis bersama rakan kongsi di Bangsar Baru, Kuala Lumpur dan tidak pernah terlibat dengan politik langsung termasuk di universiti. Saya hanya aktif pada 1999 hingga 2000 dan menyertai PAS. Saya masuk politik kerana melihat ada kepincangan dalam pentadbiran kerajaan pada masa itu. Ketika itu, politik terlalu mendominasi pentadbiran negara, mengatasi semua badan lain yang menjadi semak imbang iaitu badan kehakiman.

Apakah factor utama yang mendorong untuk menyertai politik?

Perkara yang mencetuskan saya masuk politik ialah insiden bekas Mufti Selangor Allahyarham Dato’ Ishak Baharom dipecat. Apabila saya tengok dominasi kuasa politik melampau hingga hilang semak imbang serta mufti dipecat. Maka untuk perbetulkan situasi ini, saya perlu masuk politik dan betulkan politik. Tidak cukup jika saya hanya bergelar peguam.

Saya masuk ke politik atas dasar kepercayaan diri sendiri sahaja, bukan atas jemputan atau dorongan. Ibu bapa jmerestui dan serahkan sepenuhnya kepada saya. Mereka beri kebebasan kerana perkara penting sudah mereka beri termasuk pelajaran ke universiti. Malah, apabila berkahwin, mereka menganggap sempurna sudah pendidikan dan boleh berfikir serta buat keputusan sendiri, tiada halangan.

Bagaimana keadaan ketika mula-mula melibatkan diri dalam dunia politik?

Pada awalnya agak janggal kerana tidak pernah berpolitik dan tiada pengalaman. Budaya PAS pada waktu itu juga tidak menyambut mesra pendatang baharu, dianggap seakan-akan ‘penyiasat’. Kerjaya sebagai peguam juga berjalan seiring dan mengatasi politik pada awalnya. Bagaimanapun, secara beransur-ansur bertukar hingga aktif sepenuhnya dalam politik dan sambilan peguam.

Mazwan Johar (kanan) mengagihkan tong sampah kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Bangi, Hulu Langat pada 9 Januari 2022. Foto Facebook Mazwan Johar

Mengapa bertanding kerusi DUN Sungai Ramal?

Apabila Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuh, mereka perlu segera menyusun semula struktur parti pelbagai peringkat termasuk kawasan Parlimen. Ketika itu, saya antara dikenal pasti pemimpin yang boleh dipertanggungjawabkan di Bangi. Mereka bertanya adakah sanggup terima tanggungjawab itu dan saya menyahutnya. Ketika gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan rundingan kerusi, kerusi DUN Sungai Ramal diberi kepada Amanah.

Saya memang bergiat aktif di DUN Sungai Ramal yang dahulunya DUN Bangi. Ini memang kawasan saya termasuk dalam pembabitan awal dalam politik. Apabila diberi tanggungjawab bertanding di Sungai Ramal untuk mencapai kemenangan, ia seperti campak ikan ke air.

Apakah bentuk cabaran dalam mendekati masyarakat?

Maklum balas kelas menengah ke atas, mereka berasa tidak mendapat layanan atau perhatian kerajaan sebab kita banyak beri tumpuan golongan berpendapatan rendah (B40). Saya lihat mereka minat membaca buku tetapi lihat perpustakaan di Bangi tidak begitu memberangsangkan. Saya berbincang dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) untuk naik taraf dan ia sedang dilakukan. Ini yang saya lakukan untuk golongan kelas menengah iaitu memberi perkhidmatan untuk mereka.

Apakah tumpuan awal untuk penduduk DUN Sungai Ramal?

DUN Sungai Ramal merupakan kawasan yang pesat membangun dan tempat pilihan untuk didiami tetapi saya perhatikan polarisasi kaum tinggi dalam kalangan penduduk. Kepedulian saya lebih kepada mewujudkan masyarakat sihat daripada segi hubungan sosial kerana ia terlalu dipolitikkan. Sehingga institusi masyarakat seperti masjid dan surau yang sepatutnya menjadi tempat berinteraksi dengan sihat, kini dikuasai politik. Itu tidak sihat.

Saya mahu membina suasana masyarakat yang walaupun berbeza politik tetapi boleh hidup harmoni. Saya tidak mahu kehidupan masyarakat terlalu dipengaruhi politik sehingga hendak bantu pun kena lihat parti mana. Apabila saya menjadi wakil rakyat, maka saya cuba pecahkan itu dan mahu menjadi wakil rakyat untuk semua serta berbakti tanpa mengira kaum dan agama. Perlu semai perasaan saling hormat-menghormati dan kasih sayang antara satu sama lain. Inilah kepedulian saya.

Mazwan Johar membuat lawatan ke program Ujian Saringan Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada 4 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bagaimana aspek pembangunan di Sungai Ramal? Apakah cadangan untuk menambah baik?

Dalam kawasan saya, bandarnya memang sedia membangun dan kemudahan mendapat perhatian, namun ada enam kampung tradisi bawah majlis daerah yang peruntukannya agak terhad. Contohnya, Bandar Baru Bangi, jalannya besar tetapi masuk kampung jalan agak sempit. Ada dua suasana kualiti hidup berbeza dalam kawasan yang sama. Jadi, keutamaan saya adalah bina kehidupan luar bandar dapat dinaik taraf seperti jalan dapat diluaskan selain dilengkapi kemudahan internet.

Saya berjaya menaik taraf jalan-jalan kampung yang antaranya ada menjadi jalan pintasan ke bandar. Pada awalnya, jalan kampung tidak boleh dibaiki kerana bukan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT). Justeru, saya berbincang dan pindahkan pentadbiran jalan kepada PBT. Contohnya Jalan Abim, Kampung Sungai Ramal Dalam iaitu jalan kampung tetapi menjadi jalan utama yang diambil alih untuk dinaik taraf.

Ketika penularan Covid-19, apakah bentuk bantuan disalur kepada rakyat?

Keseluruhan untuk bakul makanan lebih RM300,000 diperuntuk. Saya juga bekerjasama dengan ahli majlis dalam membantu masyarakat terkesan akibat Covid-19. Cuma ia relevan pada awal pandemik berbanding sekarang, setelah aktiviti berjalan seperti biasa. Rata-rata yang jumpa saya adalah mereka yang sakit serta tidak dapat bekerja. Kita ambil peduli dan curahkan keprihatinan, kita bantu peringkat awal seterusnya bawa kes ini kepada agensi berkaitan seperti Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kita juga serap mereka kepada bantuan Kerajaan Negeri iaitu Inisiatif Peduli Rakyat. Saya lakukan ini kerana dapati ada sesetengah pihak tidak maklum bantuan Kerajaan Negeri terutama individu yang betul-betul memerlukan. Pelbagai cara hebahan dibuat tetapi masih ada yang tidak tahu berbanding mereka sedia maklum tetapi tidak layak.

Apakah bentuk usaha untuk menguar-uarkan inisiatif Kerajaan Negeri?

Saya ambil pendekatan berjumpa dengan mereka dan tidak bergantung sepenuhnya media sosial seperti Facebook dan WhatsApp. Cabaran utama apabila ada kalangan mereka yang tidak faham atau fasih berbahasa Melayu. Ini menyukarkan kita untuk menyampaikan maklumat. Saya ambil keputusan membawa wakil kaum terbabit untuk menyampaikan inisiatif tersebut.

Jika diberi mandat sekali lagi dalam pilihan raya, apakah lagi perancangan YB?

Saya mahu membangunkan Pasar Bandar Baru Bangi, Seksyen 1 kepada pasar moden kerana konsepnya puluhan tahun dahulu kira-kira 80-an. Sudah tiba masanya pasar ini dinaik taraf atau diroboh semula demi kemudahan rakyat. Setakat ini, keadaan pasar kemudahan asas kurang untuk orang kelainan upaya (OKU). Selain itu, kita ada Tasik Cempaka di pusat bandar yang merupakan kawasan rekreasi tetapi tasik ini tidak lagi kondusif untuk beriadah. Tasik ini ada aliran air daripada sungai dan membawa segala kekotoran yang dikumpulkan di tasik, kualiti air teruk dan agak berbau sekali gus tidak sesuai untuk beriadah.

Saya sudah berbincang dengan EXCO infrastruktur supaya tasik ini dinaik taraf dan beliau beri cadangan bina ‘flood wall’ (tembok banjir). Pembinaan ini membantu menjernihkan dan mengawal mutu air di tasik. Saya bersetuju cadangan itu cuma ia memerlukan belanja yang agak tinggi dan berharap Kerajaan Negeri bantu merealisasikannya. Bukan sahaja tasik tetapi kawasan sekitarnya juga dicadang dinaik taraf seperti ada studio persembahan, tempat jualan hasil pertanian dan sukan ekstrem kerana mempunyai keluasan hampir 45 ekar.

Mazwan Johar menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Ramal, Bandar Baru Bangi pada 31 Mac 2022. Foto Mazwan Johar

Bagaimana jangkaan sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang?

Buat masa ini, saya tidak tahu lagi kerana peringkat parti belum berbincang mengenainya. Jika diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat, kawasan Sungai Ramal demografi pengundinya 80 peratus Melayu, 11 peratus India dan sembilan peratus Cina. Saya perhatikan pengundi DUN Sungai Ramal tidak terikut-ikut sentimen dan buat berdasarkan penilaian. Bagi saya, yang penting DUN Sungai Ramal hendak tengok rekod perkhidmatan, buat kerja atau tidak, bukannya retorik. Ini yang saya buat. Malah, saya juga asingkan Facebook peribadi dan sebagai wakil rakyat. Saya juga elak bercerita pasal parti lain dan politik di Facebook wakil rakyat.


Pengarang :