Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

Warga emas didenda tidak bayar parkir, jelaskan 150 saman tertunggak

SHAH ALAM, 19 MEI: Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat semalam selepas gagal membayar parkir kereta di tempat awam.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata lelaki berusia 60-an itu melakukan kesalahan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan Perenggan 8, MDKL Tahun 2007.

“Tertuduh didapati mengaku bersalah di atas kesalahan meletakkan kenderaan di tempat letak kereta tanpa bayaran dan dikenakan denda RM150 atau sehari penjara.

“Tertuduh telah mengaku bersalah dan telah membayar denda kepada mahkamah tersebut,” kata pihak berkuasa tempatan itu di Facebook.

MPKL memaklumkan sebaik sahaja membayar denda, lelaki tersebut kemudian menjelaskan 150 saman tertunggak di pejabatnya berjumlah RM1,500.

Yang Dipertua Dato Amirul Azizan Abd Rahim berkata sempena ulang tahun pertama pengisytiharan MPKL, pihaknya memberikan tawaran diskaun bayaran kompaun parkir dan akan tamat pada 9 September ini.

Tawaran diskaun bagi denda sebelum 2019 adalah sebanyak RM15 untuk satu kompaun dan bagi 2020 hingga 2022 adalah sebanyak RM10 untuk satu kompaun.


Pengarang :