Seorang petugas kesihatan lengkap berpakaian sut pelindung diri (PPE) membantu orang ramai yang hadir di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati Shah Alam ketika tinjauan Selangorkini pada 17 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Petugas hadapan terlibat kes Covid-19, terkilan terlepas urus jenazah ibu mentua

SHAH ALAM, 8 JUN: Pemergian ibu mentua tercinta akibat Covid-19 pertengahan tahun lalu masih membekas di hati seorang petugas barisan hadapan ekoran tidak berpeluang mengiringi jenazahnya ke liang lahad.

Dr Noriah Ismail, 55, mengakui terkilan mengenangkan tidak dapat berada di sisi ketika arwah berusia 82 tahun menghembuskan nafas terakhir, dua minggu selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Krai, Kelantan.

Ketua jabatan unit kawalan penyakit berjangkit di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu hanya sempat melihat pusara ibu mentuanya sebaik tiba di kampung pada petang hari berkenaan.

Ketua Unit Kawalan Penyakit Berjangkit JKNS, Dr Noriah Ismail. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Arwah dimasukkan ke hospital selama tiga minggu, waktu itu kes melibatkan varian Delta sangat tinggi. Sebaik didiscaj, arwah mendapat komplikasi daripada jangkitan tersebut seperti batuk dan hilang selera makan.

“Memang saya emosi sebab perlu menguruskan semua isu Covid-19 di sini (Selangor) tetapi apabila keluarga sendiri yang kena saya tidak sempat melawat. Saya sekadar boleh mengurus kemasukannya ke hospital,” katanya menambah arwah belum menerima suntikan vaksin.

Terdahulu, Dr Noriah ditemui pada majlis pelancaran Majlis Penasihat Kesihatan Awam Selangor (Selphac) dan Apresiasi Petugas Barisan Hadapan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini semalam.

Ketua Unit Survelan dan Kesiapsiagaan JKNS, Dr Muhammad Haikal Ghazali. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berbeza bagi Ketua Unit Survelan dan Kesiapsagaan JKNS Dr Muhammad Haikal Ghazali, 38, amanah digalas menyebabkan beliau terpaksa bekerja sepanjang masa sehingga tidak berpeluang pulang ke Ayer Keroh, Melaka untuk bertemu tiga anaknya hampir setengah tahun.

“Sepanjang pandemik boleh dikatakan kita (petugas barisan hadapan) tidak bercuti sebenarnya. Paling sedih tidak dapat melawat keluarga yang tinggal berjauhan sebab tuntutan tugas di peringkat negeri.

“Sukar untuk gambarkan perasaan mereka. Setiap kali buat panggilan telefon, mereka akan tanya bila mahu pulang? Orang lain boleh balik kenapa ayah tidak boleh? Malah satu ketika saya tidak dapat menghadiri program anak di sekolah sedangkan murid lain ditemani ibu bapa masing-masing,” katanya.

Penguasa Kanan Bomba Negeri Selangor, Md Ridzuan Hassan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bagi Penguasa Kanan Bomba 1, Md Ridzuan Hassan, 50, bertugas semasa banjir besar melanda Selangor penghujung tahun lalu antara pengalaman paling mencabar berikutan ketika itu kes Covid-19 masih tinggi.

Beliau yang berkhidmat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Shah Alam berkata pihaknya perlu menjalankan operasi menyelamat mangsa di Sri Muda, Seksyen 25 di sini yang terperangkap untuk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sepanjang pandemik juga kami juga perlu pastikan semua kawasan awam termasuk pusat kuarantin dan pejabat kerajaan disanitasi demi memastikan keselamatan semua pihak.

“Kadangkala ada sebahagian anggota terpaksa melakukan kerja di luar bidang kuasa seperti aspek perubatan, namun tidak menjadi masalah kerana kami berpegang pada prinsip berbakti kepada masyarakat dan menjaga nyawa serta keselamatan,” katanya.


Pengarang :