Sukarelawan Team Selangor mengagihkan barangan keperluan asas ketika majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir menerusi Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

22 sukarelawan Team Selangor sertai misi kedua bantuan bah ke Baling

BALING, 22 JULAI: Seramai 22 sukarelawan daripada Team Selangor menyertai Misi Selangor Penyayang 2.0 di Baling, Kedah.

Ketua sekretariatnya berkata pasukan itu membantu dalam mengagihkan sumbangan tilam dan bantal daripada Kerajaan Selangor kepada mangsa bah di beberapa buah kampung.

“Kita bantu agihkan barangan berkaitan kepada 400 penduduk terjejas akibat banjir. Ada dalam kalangan penduduk yang tiada kenderaan, jadi kita bantu bawa tilam ke rumah mereka.

“Selain itu, Team Selangor turut memberi beberapa keperluan lain seperti lampin dewasa dan kanak-kanak, tuala wanita dan cecair pembasmi kuman sumbangan perseorangan,” kata Syahaizel Keman ditemui pada misi tersebut hari ini.

Pada 6 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi Misi Selangor Penyayang melibatkan 263 individu dari pelbagai agensi termasuk ahli Sukarelawan Selangor (Serve) ke Baling bagi membantu kerja pascabah.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut menyertai misi itu 40 sukarelawan Team Selangor bagi membantu mangsa banjir di Baling membersihkan rumah.

Misi itu membawa 33 jentera dan 112 alatan dibawa bagi menjayakan operasi bantuan itu meliputi pacuan empat roda (4×4), van dan lori Roll on Roll Off (RoRo) dan lori tipper.

Perkakas lain seperti mesin pemotong pokok, tong air, pam air bertekanan tinggi, jengkaut, lampu dan pelbagai alatan pembersihan lain.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga individu termasuk wanita hamil.

 


Pengarang :