Izyyan Qistina Imran, 17, mempamerkan karya bertajuk ‘Bangkit’ di Pameran Sembuh di UiTM Shah Alam pada 6 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bakat luar biasa, remaja autisme hasil 10 karya tema animasi

SHAH ALAM, 7 JULAI: Bermula dengan sekeping kertas, siapa sangka seorang penghidap autisme kini mampu menghasilkan karya akrilik atas kanvas sehingga mengujakan orang ramai.

Izyyan Qistina Imran, 17, mengekspresikan objek yang dilihatnya atas kertas seawal usia tiga tahun sebelum berjinak-jinak melukis di kanvas pada 2020 hasil bimbingan guru seni, Luq Zaidi Ismail.

Meski berstatus orang kelainan upaya, Luq berkata pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ismail, Sungai Petani, Kedah memiliki bakat luar biasa apabila berjaya melukis 10 karya bertemakan animasi setakat ini.

Guru seni, Luq Zaidisnail. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dia sememangnya pakar kepada animasi. Pada mulanya dia melukis animasi atas kertas tanpa warna tetapi saya galakkan guna animasi pada kanvas dan berwarna.

“Setiap lukisannya memang ambil masa yang lama untuk disiapkan sebab dia penuh dengan ketelitian,” katanya ketika ditemui pada Pameran Sembuh di Hab Media Digital Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini semalam.

Izzyan antara 45 pengkarya muda yang menyertai pameran julung kali dianjurkan Galeri Shah Alam dengan kerjasama UiTM bermula 4 hingga 21 Julai.

Anak tunggal itu mempamerkan lukisan bertajuk ‘Bangkit’ yang memaparkan wajah seorang wanita dari sisi kiri, berpakaian biru dan rambut bersanggul.

Bercerita lanjut, Luq berkata lazimnya idea lukisan dicetuskan sendiri oleh Izzyan dan beliau hanya memberi panduan daripada aspek gubahan warna dan keseragaman.

“Alhamdulillah, dia berjaya menyiapkan lukisan ini setelah tiga bulan berhempas-pulas. Pengunjung yang berminat boleh membeli karya ini dengan harga RM500,” katanya.

Difahamkan, Izzyan kini dalam proses menyiapkan satu lagi lukisan bertajuk ‘Persahabatan Adalah Kebebasan’ untuk dibawa ke pameran seni akan datang.


Pengarang :