Dr Maszlee Malik -Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Maszlee: Segera tubuh majlis tindakan, rawat kelesuan pendidikan negara

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kerajaan digesa segera menubuhkan majlis tindakan pendidikan (MTP) bagi merangka pelan induk di semua peringkat dalam mendepani cabaran pascapandemik.

Pembahas dari Johor Dr Maszlee Malik berkata majlis itu juga berperanan menyelia isu berkaitan pendidikan yang terjejas akibat Covid-19, lapor Berita Harian.

“Ini hanya boleh dilakukan dengan adanya MTP untuk merangka pelan pendidikan pasca Covid-19 selaras titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembukaan sidang Parlimen tahun lalu.

“Ketika itu baginda menyentuh secara terus mengenai pendidikan dan menitahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya bersikap inklusif mengatasi idelogi dan kepakaran dalam memajukan sektor pendidikan.

“Sehingga kini, tidak dilihat usaha ke arah merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong itu dan Malaysia juga tiada pelan jangka panjang untuk sektor pendidikan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ketika Kongres Nasional KEADILAN ke-16 di sini, hari ini.

Bekas menteri pendidikan turut khuatir dua isu utama memberi kesan jangka panjang terhadap negara iaitu keciciran pembelajaran dan golongan tercicir

“Kita tak boleh berdiam dalam mendepani isu ini. Jika isu ekonomi impaknya hanya setahun dua, namun isu pendidikan, keciciran dan ketinggalan kesannya menjangkau 20 hingga 40 tahun ke depan dan inilah yang perlu kita risau.

“Justeru, menjadi tanggungjawab parti untuk memperjuangkan usaha menangani kemiskinan yang menghalang pendidikan ini,” katanya.

 


Pengarang :