Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama tujuh pengawai daerah selepas menyampaikan cek cura Aset ICT untuk pusat kawalan operasi bencana sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tujuh lagi pejabat daerah terima aset ICT, permudah tindakan hadapi bencana

PETALING JAYA, 24 JULAI: Tujuh lagi pejabat daerah dan tanah (PDT) menerima aset komunikasi teknologi maklumat (ICT) daripada Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata peralatan seperti televisyen pintar, komputer riba dan beberapa peranti komputer itu bertujuan mendigitalkan pusat kawalan operasi bencana daerah supaya risiko musibah dapat diurus dengan lebih cekap.

“Dalam lawatan ke PDT tahun lalu ketika banjir, kita dapati kemudahan terdapat di sana ketinggalan zaman sedangkan pusat kawalan operasi bencana negeri di Shah Alam memiliki kemudahan sangat baik.

“Jadi kita berasakan aset di peringkat daerah juga perlu ditambah baik. Diharap perkongsian data masa nyata dan maklumat dapat disampaikan dengan cepat melalui serahan aset berkaitan,” katanya Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis serahan peralatan berkenaan kepada PDT terlibat sempena Jelajah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

PDT berkenaan adalah Petaling, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Gombak.

Sebelum ini, PDT Hulu Langat dan Sepang sudah menerima peralatan sama sempena jelajah ISP siri pertama di Padang Taman Kosas, Ampang Jaya pada 19 Jun.

Sementara itu, Pengarah Perancangan Strategik SSDU Mazlan Mahadi berkata serahan aset terbabit adalah sebahagian daripada inisiatif Pelan Tindakan Smart Selangor 2025.

“SSDU tekad menyediakan kelengkapan terbaik dari aspek digital bagi memperkasakan kemajuan sistem pentadbiran yang mampu memberi manfaat kepada seluruh rakyat Selangor.

“Selain menumpukan pembangunan infrastruktur pintar, SSDU juga mahu membina jalinan hubungan baik dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi persediaan transformasi daerah-daerah menuju ke arah negeri pintar,” katanya.

 


Pengarang :