Peserta yang hadir ketika program Jelajah Usahawan Digital Selangor siri keempat anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tambah baik program digital seiring pelan maju negeri

SHAH ALAM, 11 OGOS: Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) akan menampilkan elemen baharu dalam programnya untuk menjayakan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Ketua pegawai eksekutifnya berkata beberapa program berdampak tinggi giat dijalankan ketika ini bagi mengukuhkan ekonomi digital antaranya Pendidikan E-Dagang Selangor.

Yong Kai Ping menjelaskan program lain yang diadakan ialah Jelajah Usahawan Digital Selangor, Kempen Selangor E-Bazar dan Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor.

Beliau berkata program tersebut direka khas untuk menambah kesedaran pendigitalan serta membantu usahawan industri kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan mereka.

“Bagi menjayakan RS-1, Sidec akan menambah baik program dengan memperkenal elemen baharu lebih menarik yang mengikuti perkembangan dunia digital. Ini kerana trend perniagaan dalam talian sentiasa berubah dalam masa singkat,” katanya.

RS-1 yang dibentangkan pada 27 Julai dengan nilai keseluruhan RM212.44 bilion, sebahagian besarnya disalur kepada projek pembangunan termasuk pelaksanaan insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), pelan itu mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Selangor dan persekutuan.

Selain itu, ia dirancang bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini antaranya Perang Rusia-Ukraine selain Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat.


Pengarang :