AGENDASUKANKINI

Dennis Bekking pengarah teknikal baharu Selangor FC

SHAH ALAM, 30 SEPT: Selangor FC melantik Dennis Bekking sebagai pengarah teknikal baharu menjelang persiapan kelab menghadapi saingan musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon berkata bekas pengarah akademi FC Twente ini bertanggungjawab ke atas urusan teknikal pembangunan pemain di setiap peringkat.

“Pengalaman luas beliau di Belanda sebagai pengarah sukan dan pengarah teknikal serta pemahaman yang baik tentang bola sepak Malaysia akan membantunya memperkenal dan mengintegrasikan kaedah bola sepak moden kepada jurulatih kami, seterusnya membangunkan sistem pembangunan bakat di Selangor FC,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Bekking yang teruja untuk memulakan peranan baharunya akan meneruskan usaha mengenal pasti bakat muda seperti dilakukan Gergasi Merah sebelum ini.

“Dengan kemasukan prospek masa depan yang muda ini ia menjadi satu keperluan untuk kita menyediakan laluan pembangunan belia yang betul bermula dari B18 hingga ke pasukan utama.

“Saya bersedia untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme buat pemain muda ini bersama-sama jurulatih dan kakitangan di Selangor FC,” katanya.

Pada 24 September, Selangor FC mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baharu manakala K Sanbagamaran menjadi penasihat teknikal pasukan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah merangkap Pengerusi Selangor FC menyerahkan surat pelantikan ketua jurulatih kepada Tan Cheng Hoe pada 24 September 2022. Foto Facebook SELANGOR FC

 

 


Pengarang :