Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Karnival Ekstrem Gua Damai sempena sambutan ulang tahun ke-25 Majlis Perbandaran Selayang di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selayang pada 11 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Isu milikan tanah Bukit Cherakah, penjelasan kepada rakyat pada minggu ini

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kontroversi berhubung hak pemilikan tanah Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah yang ditimbulkan beberapa pihak akan dijelaskan pada Selasa atau Rabu ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendedahan tersebut supaya rakyat lebih memahami perkara sebenar selain membersihkan nama Selangor yang dijadikan bahan serangan menjelang pilihan raya umum (PRU).

“Sekarang ada isu Bukit Cherakah. Bila semak, rupanya gambar dikeluarkan itu bukan termasuk dalam kawasan yang kononnya dinyahwarta. Itu kawasan lama yang  telah diserahkan kepada UMNO dan Barisan Nasional dahulu.

“Justeru Selasa atau Rabu, EXCO bertanggungjawab akan terangkan kepada semua siapa terlibat, kepada siapa (kawasan) diberikan dan bagaimana cara pemberian supaya rakyat tahu dan tanda ketelusan kita,” ketika berucap di Ceramah Mega Rapat KEADILAN di Taman Melawati, Gombak di sini, malam ini.

Amirudin yang juga naib presiden KEADILAN turut mengingatkan kepimpinan Kerajaan Negeri sentiasa memberi penerangan berhubung sebarang isu bagi mengelak kekeliruan rakyat.

“Pakatan Harapan (HARAPAN) semakin padu di Selangor. Akhir-akhir ini serangan kepada Kerajaan Negeri semakin meningkat. Contohnya isu Bukit Cerakah, dari semasa ke semasa kita perlu terangkan kepada rakyat, kena jelaskan,” katanya.

Semalam Amirudin berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan syarikat bermodalkan RM2 adalah antara yang diberikan hak pemilikan tanah di Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah.

Beliau turut menegaskan sejak negeri ini ditadbir Pakatan Rakyat atau HARAPAN, pihaknya tidak pernah menyahwarta kawasan Bukit Cherakah.


Pengarang :