Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KEADILAN jamin lantikan badan kehakiman dibuat secara telus jika rakyat beri mandat

SHAH ALAM, 7 SEPT: Ahli-ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memberi jaminan lantikan penting seperti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dibuat secara telus sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) kembali diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Menerusi kenyataan, mereka berkata kebebasan badan kehakiman amat penting dalam sesebuah negara dan Malaysia sewajarnya dilihat tekad mendokong prinsip kedaulatan undang-undang oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa.

“Berpegang teguh kepada prinsip menolak sebarang bentuk campur tangan dari mana-mana pihak, HARAPAN menjamin bahawa jika rakyat mengembalikan mandat, kami akan pastikan lantikan penting seperti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman akan dibentang dan dilulus melalui satu proses di Parlimen supaya proses itu akan dijadikan lebih telus,” menurut mereka.

Menerusi kenyataan sama, kesemua ahli parlimen KEADILAN menzahirkan rasa kurang senang dengan pelantikan anggota baharu Suruhanjaya Kehakiman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain bimbang keputusan itu dibuat susulan sindiran ahli Umno yang mahu peguam negara ditukar dengan individu yang lebih lunak kepada kehendak parti mereka.

“Malaysia belum lagi reda dengan kontroversi bekas Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dalam ucapan beliau kepada ribuan ahli Umno yang menyindir Ismail Sabri supaya menukar Peguam Negara agar lebih lunak kepada kehendak Umno.

“Kini timbul pula persoalan apakah pelantikan anggota Suruhanjaya Kehakiman oleh perdana menteri ini kerana Ismail Sabri tidak mampu melawan kehendak orang-orang tertentu di dalam Umno yang mempunyai kepentingan tertentu,” soal mereka lagi.

Pada 5 September lalu, perdana menteri melantik tiga individu termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi tempoh dua tahun.

Turut dilantik ialah bekas Peguam Besar Negeri Sarawak, Datu Abdul Razak Tready, dan Pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.


Pengarang :