Ramai kanak-kanak mencuba sukan lasak luncur keluang (Flying Fox) ketika Karnival Ekstrem Gua Damai sempena Sambutan Ulang Tahun ke-25 Majlis Perbandaran Selayang di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selayang. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Luncur keluang jadi pilihan kanak-kanak di Karnival Ekstrem Gua Damai

SELAYANG, 12 SEPT: Sukan lasak luncur keluang (Flying Fox) mendapat sambutan hangat dalam kalangan kanak-kanak sepanjang dua hari Karnival Ekstrem Gua Damai di sini.

Melawan rasa takut, rata-rata mereka teruja meraih pengalaman meluncur di Taman Esktrem Gua Damai, Batu Caves sempena cuti penggal persekolahan.

Mohd Nur Hafirul Hazis, 30 bersama anaknya Muhammad Fahri, 5. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Seorang bapa Muhd Nur Hafirul Hazis, 30, berkata dia mahu memupuk minat anak sulungnya Muhammad Fakhri, 5, terhadap kegiatan lasak memandangkan dia juga penggiat sukan berkenaan sejak tujuh tahun.

“Saya memiliki sijil sah daripada Persekutuan Pendakian Asia Tenggara dan aktif melakukan aktiviti seperti luncur keluang, memanjat batu kapur, zipline serta abseiling sepanjang tempoh berkenaan.

“Jadi saya mahu turunkan ilmu itu kepada dia (Muhammad Fakhri). Dari sini saya boleh tahu dia sebenarnya minat atau tidak buat aktiviti sebegini memandangkan selama ini hanya gemar bermain basikal dan skuter,” katanya yang juga guru sukan di sebuah sekolah rendah swasta ketika ditemui semalam.

Siti Nor Amira Abdul Rahman,. 29. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Sementara itu, Siti Nor Amira Abdul Rahman, 29, berkata anak sulungnya Firash Adrian Faizul, 6, bangun awal pagi kerana teruja dan bimbang terlepas peluang untuk meluncur.

““Dia (Firash) bangun awal pagi hari ini kerana teruja walaupun tidak pernah cuba sebelum ini. Saya mahu dedahkan dia dengan aktiviti lasak sebab biasanya di rumah dia hanya main basikal.” katanya.

Selain luncur keluang, karnival dua hari sejak 10 September turut menawarkan sukan lasak lain seperti terjun tapak, tali imbangan, panjat batu kapur, abseiling, panjat pokok, paintball, jumaring, dan roller blade.

Karnival anjuran bersama Majlis Perbandaran Selayang, Tourism Selangor dan Tourism Malaysia ini bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat selain mempromosi lokasi pelancongan sukan ekstrem berkenaan.

Seorang peserta mencuba sukan lasak Rock Climbing ketika Karnival Ekstrem Gua Damai sempena Sambutan Ulang Tahun ke-25 Majlis Perbandaran Selayang di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selayang. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :