Ahli Dewan Negeri Kota Damansara yang juga Naib Presiden MTUC Shatiri Mansor bercakap kepada media ketika meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat di Jalan Nova U5/M, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 20 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENSISELANGOR

MTUC saran negeri, pusat bekerjasama selesai isu pekerja

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan Negeri diharap dapat terus mengeratkan kerjasama bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam usaha membela nasib pekerja.

Naib Presidennya Shatiri Mansor berkata sudah tiba masanya isu pekerja tidak hanya diselesaikan kerajaan persekutuan tetapi ia juga perlu dibantu Kerajaan Negeri.

“Saya rasa sudah tiba masanya kita ubah pemikiran itu. Isu pekerja bukan hanya dibawah kuasa kerajaan pusat.

“Kerajaan Negeri juga boleh bantu menerusi penganjuran dialog sosial bersama pihak berkepentingan. Jadi, kita harap kerjasama itu dapat dipertingkatkan lagi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kota Damansara.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.

Shatiri yang juga Naib Presiden MTUC berkata, beliau berbangga apabila Selangor menjadi satu-satunya negeri menubuhkan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) yang berperanan membela nasib pekerja.

“Bukan setakat tubuhkan unit khas, malah Kerajaan Negeri turut salur peruntukan sebanyak RM1 juta. Pada saya, pelaksanaan itu amat baik sekali,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Kerajaan Negeri menubuhkan UPPS bagi merapatkan jurang di antara jabatan serta agensi dengan kerajaan persekutuan.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan unit itu ditubuhkan dalam membantu menyelesaikan isu melibatkan antara majikan dan pekerja.

 


Pengarang :