Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas perasmian Praperancangan Sistem Pengurusan Maklumat CMS dan aplikasi HalalSel di Dewan Annex, Shah Alam pada 30 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

PRN: HARAPAN tumpu pertahan Selangor, bentuk kerajaan stabil

SHAH ALAM, 30 NOV: Pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menumpukan usaha untuk mempertahan kemenangan di negeri itu menjelang pilihan raya tahun depan.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pihaknya juga fokus untuk mendapat majoriti seperti tiga penggal lalu dan membentuk Kerajaan Negeri yang stabil.

“Setakat ini saya masih lagi utamakan kemenangan HARAPAN dalam pilihan raya negeri (PRN). Jadi, saya tidak ambil peduli posisi di pusat (persekutuan) dan sebagainya.

“Saya akan pastikan HARAPAN menang dan mendapat majoriti serta kedudukan yang stabil seperti yang kita capai tiga penggal lepas. Kalau tanya, saya lebih suka untuk kekal di Selangor,” katanya.

Beliau mengulas perkara itu dalam sidang media selepas menghadiri prapelancaran aplikasi mudah alih HalalSel di Dewan Annex di sini hari ini.

HARAPAN membentuk kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak selepas tiada mana-mana parti menang majoriti pada pilihan raya umum lalu.

Sebelum ini, Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak memaklumkan lebih cenderung meneruskan pentadbiran negeri dan melengkapkan beberapa agenda antaranya Rancangan Selangor Pertama.


Pengarang :