Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pelabuhan Klang ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pelabuhan Klang di Pulau Indah pada 12 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII
ADNSELANGOR

DUN Pelabuhan Klang capai kuota program bantuan, 330 keluarga terima manfaat

KLANG, 12 FEB: Seramai 330 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) sejak ia dilancar pada Jun tahun lalu.

Wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata penerima bantuan itu kini mencapai kuota ditetapkan dan masing-masing menerima bantuan RM300 sebulan.

“Biarpun sudah penuh tetapi sebenarnya ia masih tidak cukup kerana setiap hari pejabat saya didatangi keluarga berpendapatan rendah yang ingin memohon bantuan ini.

“Saya cadangkan dan alu-alukan sekiranya Kerajaan Negeri dapat menambah kuota penerima di DUN tertentu contohnya di Pelabuhan Klang yang penduduknya ramai pekerja kilang perindustrian, buruh berpendapatan RM1,500 ke RM2,000,” katanya.

Beliau ditemui ketika Jualan Ehsan Rakyat peringkat DUN Pelabuhan Klang di Lebuh Samudera 1, Laguna Park, Pulau Indah di sini, hari ini.

Sementara itu, Azmizam memaklumkan pihaknya mengambil inisiatif mengagihkan bakul makanan kepada golongan berpendapatan rendah yang datang ke pejabatnya memohon Bingkas.

“Agihan bakul makanan ini dilakukan dari semasa ke semasa dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak seperti badan berkanun, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan Lembaga Zakat Selangor,” katanya.

Inisiatif Bingkas menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) merupakan skim terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Menerusi Bingkas, setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun dan bayaran diagihkan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :