Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sabah Phoong Jin Zhe (tiga, kanan) bersama Pengarah Urusan GM Klang Datuk Lim Seng Kok (empat, kanan) melakukan lawatan di Authentic Sabah Mart selepas majlis perasmian pasar berkenaan di GM Klang pada 10 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 300 produk PKS popular Sabah di GM Klang

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 11 MAC: Pusat Borong GM Klang menawarkan lebih 300 produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sabah sebagai usaha mempromosi hasil keluaran tempatan.

Pengarah Urusannya Dato’ Lim Seng Kok berkata antara produk ditawar ialah makanan, minuman, aksesori dan fesyen tradisional bertempat di Authentic Sabah, tingkat bawah Blok A.

“Selain itu, pelbagai jenis minuman kopi dari Sabah juga tersedia dijual di kedai ini.

“Menerusi kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR) ini membantu usaha menghimpunkan peniaga dan usahawan dari serata tempat di bawah satu bumbung sekali gus menyokong peranan kami menjadi pusat borong paling komprehensif di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Authentic Sabah Mart GM Klang yang disempurnakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe semalam.

Sementara itu, Jin Zhe berkata lokasi strategik serta berdekatan pelabuhan antara faktor GM Klang dipilih untuk memasarkan produk PKS Sabah.

“Selain menjadi pilihan usahawan dan pemborong untuk mendapatkan barangan kerana menjadi pusat borong terbesar di Malaysia setakat ini, lokasi GM Klang yang berdekatan dengan Pelabuhan Klang menjadi faktor penarik.

“Ia adalah salah satu strategi bagi menjimatkan kos logistik yang sering dihadapi usahawan kami dalam usaha memasarkan produk mereka ke Semenanjung,” katanya.


Pengarang :