Orang ramai mula beratur seawal 7.45 pagi di Sekolah Kebangsaan Sri Tiram, Tanjung Karang bagi membuang undi bagi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Korban cuti tahunan, pandu dari Johor untuk buang undi

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pengundi pilihan raya negeri (PRN) Selangor sanggup mengorbankan cuti tahunan selain seorang pensyarah memandu dari Johor untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari mengundi enam negeri iaitu Selangor melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).

Berikut temu bual pengundi:

“Saya mengorbankan cuti tahunan bagi memastikan dapat keluar mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram.

“Kenapa nak berkira cuti sehari untuk pilih orang yang akan wakili kita nanti, bukan selalu tetapi lima tahun sekali. Semua mesti ambil peluang ini.”

Zia Sharif, 26, (kakitangan pasar raya – DUN Jeram)

“Demi tanggungjawab memastikan proses demokrasi berjalan, saya sanggup memandu dari Johor Bahru pulang ke kampung di Kuala Selangor untuk memastikan isteri dapat mengundi.

Selesai isteri mengundi pada sebelah pagi, saya akan bergegas pulang ke kampung sendiri di Negeri Sembilan pula bagi membolehkan saya menjalankan tanggungjawab sama.

“Ini tanggungjawab setiap rakyat tak kira apa agama, bangsa atau parti politik. Ini peluang kita, pilihlah yang terbaik dalam pilihan raya negeri kali ini.”

Sobri Faisal, 32 (pensyarah IPT)

“Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu saya memilih kerajaan yang stabil seperti sedia ada.

“Saya berharap pengundi lain juga dapat membuat keputusan bijak dan yang paling penting turun mengundi. Ini adalah tanggungjawab dan hak kita sebagai rakyat negara ini.”

Suhaili Sirun, 42 (suri rumah)


Pengarang :