SHAH ALAM, 27 JAN: Usaha giat memartabat bidang seni termasuk mewarta beberapa warisan tradisi mengangkat Selangor sebagai Kota Seni, kata EXCO kebudayaan.
Borhan Aman Shah berkata langkah itu sejajar objektif negeri yang mahu mempertahan kesinambungan budaya dan warisan sekali gus memberi impak positif kepada sektor ekonomi serta sosial budaya.
“Kita telah mewarta beberapa khazanah antaranya Sate Kajang, Nasi Ambeng dan terbaharu akan mengangkat seni budaya ronggeng. Kita juga mewartakan Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung berkelopak sembilan dan akan menjadi corak pakaian rasmi penjawat awam negeri ini.
“Usaha ini supaya budaya dan warisan dapat dimajukan seiring dengan perkembangan seni kontemporari dalam industri kreatif,” katanya mewakili Dato’ Menteri Besar merasmikan Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2023 (PTGSA23) hari ini.
Bermula hari ini hingga 29 Februari, PTGSA23 yang dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang mempamerkan 52 karya seni kontemporari hasil seni pelukis tempatan termasuk pelajar.
Pameran dijangka menarik 5,000 pengunjung menampilkan empat empat kategori utama iaitu gabungan tema luas, naratif sosiobudaya hingga eksplorasi rohani, karya 2D dan 3D serta media baru.
Sementara itu, galeri lukisan baharu milik Kerajaan negeri yang menggunakan bangunan lama milik Bank Negara Malaysia di Seksyen 14, di sini dijangka siap dua tahun lagi.
“Sekarang kita tengah buat pengubahsuaian dalam bangunan dan akan jadikan Galeri Shah Alam yang baharu. Terdapat bilik kebal dalam bangunan ini yang akan menempatkan koleksi lukisan Sultan Selangor,” katanya.