Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad menyerahkan cek cura sebagai simbolik sumbangan RM1,000 kepada institusi Islam dan rumah anak yatim serta kebajikan di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 20 Mac 2024. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ sumbang RM57,200 kepada institusi agama, rumah kebajikan

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyumbang sebanyak RM57,200 kepada masjid, surau dan rumah anak yatim serta kebajikan sempena Ramadan.

Yang dipertuanya berkata sumbangan menerusi program Kongsi Rezeki membabitkan 54 masjid dan surau solat Jumaat serta lapan rumah kebajikan serta rumah anak-anak yatim di kawasan pentadbirannya.

“Sejumlah RM1,000 disumbangkan kepada setiap penerima dan MPAJ turut menyampaikan sumbangan keperluan harian asas kepada rumah anak yatim dan kebajikan.

“MPAJ turut meraikan 160 anak yatim dengan sumbangan duit raya dengan jumlah keseluruhan RM3,200,” kata Dr Ani Ahmad menerusi kenyataan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad bersama anak-anak yatim yang menerima sumbangan duit raya pada Majlis Penyerahan Sumbangan di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 20 Mac 2024. Foto MPAJ

Beliau menambah pihaknya juga menjalankan pelbagai program sepanjang Ramadan antaranya edaran bubur lambuk kepada orang ramai.

“Sebanyak 300 bekas bubur lambuk telah disediakan secara gotong-royong bersama Premier Integrated Lab dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Zon 18, wakil daripada kebun komuniti bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah.

“Majlis diteruskan dengan Iftar Jamaie Ampang Jaya iaitu program berbuka puasa bersama-sama di Padang Perbandaran MPAJ,” katanya.

 


Pengarang :