ADNSELANGOR

Lebih 300 individu pelbagai kaum, umur sertai program kacau dodol

HULU LANGAT, 6 APRIL: Lebih 300 sukarelawan menyertai program Dodol Vaganza Semenyih 6.0 2024 di pekarangan Pasaraya CLC Semenyih Sentral di sini.

Pengerusi Skuad Antidadah Selangor Hanafi Jalalludin berkata memasuki tahun keenam penganjurannya program berkenaan terus mendapat sambutan masyarakat pelbagai peringkat umur dan bangsa.

Hanafi Jalalludin bercakap. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hanafi berkata sebanyak 20 kawah dodol dengan kira-kira 2,000 bekas dodol dihasilkan pada program ini dan seterusnya diagihkan kepada sukarelawan serta penduduk sekitar.

“Program ini bertujuan merapatkan perpaduan rakyat pelbagai kaum selain memperkenalkan dan mengetengahkan budaya dan makanan tradisi masyarakat Melayu iaitu dodol yang sinonim dengan Aidilfitri.

“Sukarelawan terlibat juga berbilang bangsa bukan hanya Melayu tetapi turut disertai masyarakat India dan Cina yang mana mereka dapat rasakan suasana seperti malam raya (Aidilfitri) pada program seperti ini.

E Selvi Jailakshna. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Diharap tahun depan program ini dapat dilaksanakan dalam skala lebih besar dan melibatkan lebih ramai sukarelawan,” katanya ditemui pada program itu hari ini.

Sementara itu peniaga tekstil E Selvi Jailakshna, 42, berkata program berkenaan memberi peluang kepadanya mempelajari cara membuat dodol dengan betul.

“Dulu semasa duduk di Kampung Sungai Lalang, Semenyih ayah saya memang buat dodol bersama masyarakat Melayu tetapi selepas dia meninggal ia terhenti dan saya tidak sempat belajar.

S Sugunerani. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Jadi hari ini secara tidak langsung program ini mengimbau kenangan saya bersama ayah dan boleh belajar semula cara buat dodol dengan betul,” katanya.

Pekerja swasta, S Sugunerani, 60, berkata program yang melibatkan penyertaan peserta pelbagai kaum seperti ini wajar diteruskan dan diperbanyak untuk terus menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Di sini kita sama-sama satu kumpulan berbilang bangsa mengacau dodol. Suasana yang sangat harmoni yang harus kita kekalkan,” katanya

“Saya harap lebih banyak program seperti ini diadakan di seluruh negeri terutamanya dengan melibatkan golongan remaja,” katanya.

Peserta mengacau dodol ketika program Dodol Vaganza Semenyih di Pasaraya CLC Semenyih Sentral, Hulu Langat pada 6 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Peserta mengacau dodol ketika program Dodol Vaganza Semenyih di Pasaraya CLC Semenyih Sentral, Hulu Langat pada 6 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :