Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis penyerahan Dana Penajaan Kenderaan Mikromobiliti Segway kepada polis Kontinjen Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 24 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Tuduhan liar cubaan bina tanggapan negatif menjelang PRK

SEPANG, 24 APRIL: Tuduhan liar aktivis pembangkang dalam isu kelulusan tanah di Dengkil dipercayai bertujuan membina tanggapan negatif menjelang pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menganggap tuduhan yang dilempar Badrulhisham Shahrin atau dikenali Chegu Bard terhadapnya tiada asas kukuh dan tidak bersandar fakta.

“Mungkin dia ada multi target (sasaran rambang) tetapi isunya, mengulang benda yang sudah dijawab. Membuat tuduhan-tuduhan yang kononnya menggemparkan, namun sebenarnya sampah.

“Proses saman telah berlaku antara Landasan Lumayan dan Chegu Bard dalam tempoh seminggu, dua minggu lepas. Kalau ada sesiapa yang sama-sama berjemaah untuk disaman dipersilakan.

“Saya nampak itu strategi mereka untuk alihkan pandangan. Dia tahu fakta-faktanya agak ‘ke laut’ (tidak berasas), jadi dia cuba tarik perhatian awam untuk bina persepsi,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis simbolik penyerahan mikromobiliti e-skuter kepada polis Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Sebelum ini, setiausaha politik Dato’ Menteri Besar menyifatkan tuduhan itu episod ulang siar sewaktu pilihan raya negeri Selangor tahun lalu yang menyaksikan penuduh disaman Amirudin.

Saifuddin Shafi Muhammad juga memberi jaminan Pejabat Dato’ Menteri Besar terbuka dan sedia bekerjasama kepada pihak berkuasa bagi usaha membersihkan nama Amirudin daripada fitnah itu.


Pengarang :