Tinjauan tambahan lot parkir di Jalan Wawasan 5/1, Taman Wawasan, Puchong pada 05 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Tambahan lot parkir mudahkan pendaki, atasi sesak hujung minggu

SUBANG JAYA, 5 APRIL: Penambahan 49 petak parkir di Taman Wawasan, Puchong memudahkan pendaki Bukit Wawasan meletak kenderaan dengan lebih teratur, sekali gus mengurangkan kesesakan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han menjelaskan projek kendalian Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) siap Disember tahun lalu membabitkan kos sekitar RM160,000.

Menurutnya, Bukit Wawasan yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam terkenal dalam kalangan pendaki terutama pada hujung minggu, yang mencecah kira-kira 1,000 orang.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han bercakap kepada media selepas meninjau projek penambahan parkir di Jalan Wawasan 5/1, Taman Wawasan, Puchong pada 5 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Jadi kawasan sekitar terutama Persiaran Wawasan akan sesak pada hujung minggu (kerana kenderaan diletak di tepi jalan) dan menyebabkan gangguan lalu lintas. Justeru, kita panjangkan aduan.

“Terima kasih kepada MBSJ kerana menjayakan projek ini yang akan memberi keselesaan bukan saja kepada pendaki, malah penduduk sekitar,” katanya selepas meninjau kawasan itu hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sze Han yang juga EXCO mobiliti berkata perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) fasa dua akan dilaksana Jun atau Julai, yang menumpukan kawasan padat pelajar.

Beliau berkata projek rintis yang dilaksanakan di lapan kawasan mendapat sambutan sangat baik dengan peningkatan hampir 100 peratus daripada 500 kepada 800 pengguna dalam tempoh sebulan.

“Ini sekali gus memenuhi hasrat Kerajaan Negeri untuk membekalkan perkhidmatan ‘first and last mile’ (batuan awal dan akhir) kepada rakyat,” katanya lagi.


Pengarang :