NASIONAL

MOT mahu rakyat kongsi had umur sesuai dapatkan lesen memandu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 MEI: Kementerian Pengangkutan (MOT) meminta orang awam untuk berkongsi pandangan dan berbincang mengenai had umur sesuai bagi mendapatkan lesen memandu khususnya buat golongan belia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, segala pandangan dan maklumbalas boleh disalurkan kepada semua saluran media sosial dan digital MOT dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Statistik kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya amat membimbangkan terutama di kalangan belia.

“Berdasarkan statistik, golongan belia terutama yang berada dalam lingkungan umur 16–20 tahun mencatatkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya terbanyak berbanding kumpulan umur yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, isu keselamatan jalan raya merupakan antara permasalahan yang akan menjadi fokus untuk diselesaikan bersama JKJR.

Beliau berkata, JKJR akan menumpukan strategi promosi dan program advokasi kepada kumpulan ini terutamanya penunggang motosikal.

“Cara advokasi kali ini akan memberi kelainan di mana JKJR akan melibatkan golongan anak muda untuk sama-sama menyumbang idea dan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program-program advokasi keselamatan jalan raya,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :