NASIONAL

Peka penjagaan tandas, contohi Jepun & Korea

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 3 OGOS: Jepun dan Korea, antara negara yang perlu dijadikan ‘role model’ dalam aspek pengurusan tandas awam di Malaysia, kata Presiden Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia (QRAM), Hasan Hamzah.

Beliau berkata, kedua negara terbabit mengamalkan sistem penjagaan tandas secara efisien dan menyeluruh bagi memastikan keselesaan terhadap penggunanya.

Katanya, aspek reka bentuk dalaman dan luaran tandas yang menarik turut diambil kira supaya penyelenggaran dapat dijalankan mengikut prosedur betul.

“Setelah mengadakan lawatan ke negara berkenaan, saya dapati mereka lebih menekankan konsep itu untuk mendapatkan tandas berkualiti.

“Selain adanya pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, konsep mesra pengguna dan mesra alam perlu diberi penekanan, termasuk menggunakan bahan bersesuaian semasa mencuci tandas.

“Penggunaan bahan mesra alam akan menjamin keselematan tukang bersih, sekali gus tidak mencemarkan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Latihan Manual Pembersihan Tandas Awam, di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, di sini, hari ini.

Hasan yang merangkap Ahli Lembaga Pengarah Tadbir masjid itu berkata, pihaknya komited meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia dengan menjana kesedaran berkenaan kepentingan persekitaran tandas berkualiti secara berterusan.

“Melihat pentingnya amalan kebersihan bilik air yang menjadi sebahagian agenda dan budaya, kita juga akan mengadakan pertandingan kebersihan tandas awam di seluruh negara, pada September ini.

“Ia membabitkan 12 kategori ,termasuk tandas awam yang terdapat di masjid, surau, tempat ibadat, restoran dan stesen minyak.

“Justeru, beberapa kriteria berdasarkan perkara di atas akan diambil kira dalam pertandingan itu,” katanya.

QRAM adalah badan bukan kerajaan yang diasaskan menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pada 2005.

Fungsi penubuhannya sebagai memberi galakan dan membantu usaha kerajaan dalam kempen kebersihan tandas awam, di negara ini.


Pengarang :