PBTSELANGOR

MDKL rangkul Anugerah PBT Prihatin kali kedua

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 30 OKT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) sekali lagi merangkul anugerah Pihak Berkuasa Tempatan Prihatin daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sempena Bulan Kebajikan Negara, pada tahun ini.

Setiausahanya, Mohd Yasin Alwi berkata, anugerah itu diterima sempena Bulan Kebajikan Negara 2018 ke arah mensejahterakan golongan sasar.

Katanya, MDKL dipilih berdasarkan penumpuannya terhadap golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), di daerah itu.

“Anugerah itu akan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada 5 November ini.

“Kita berbesar hati dan gembira kerana ini tahun kedua MDKL dipilih memenangi anugerah ini,” katanya ketika ditemui.

Katanya, antara resepi kejayaan itu adalah kerjasama baik dengan JKM dalam mengajurkan program membabitkan OKU.

Katanya, MDKL juga sentiasa memantau kemudahan di daerah itu bagi memastikan golongan berkenaan mendapat kemudahan terbaik.

“Kita juga mempunyai Jawatankuasa Penilaian Kemudahan OKU yang bertujuan melaksanakan pemantauan dan audit di premis supaya mencapai standard,” katanya.

Bulan Kebajikan Negara disambut mulai 10 September hingga 1 Oktober ini bagi mengiktiraf sumbangan pelbagai pihak kepada kumpulan sasar.

Program itu adalah platform kolaborasi strategik dan manifestasi kerjasama multisektoral antara kementerian, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta syarikat korporat untuk kesejahteraan kumpulan sasar yang berada di bawah JKM.


Pengarang :