SASTERA

Penjurian Hadiah Sastera Selangor 2018

Laporan oleh panel juri

PENGANJUR menyerahkan kepada juri 40 cerpen untuk dibaca, dinilai dan disaring bagi diberikan sebuah hadiah utama dan lima lagi hadiah penghargaan. Secara keseluruhan, cerpen-cerpen ini moodnya sama iaitu urban-kontemporari.

Meskipun kampung dipilih sebagai latar, ia masih dari sudut pandang anak muda. Satu hal yang aneh, juri mengesani terdapat banyak cerpen yang menampilkan kucing sebagai props, watak, subjek dan alat alegori pada tahun ini.

Dalam pada itu, terdapat juga cerpen yang hanya bertindak sebagai perakam zaman tanpa menunjukkan sikap. Kami juga melihat kebangkitan semula pendekatan absurd seperti yang ternampak dalam karya tahun-tahun 1980-an, namun juri juga mendapati kritikan sosial ini dihadirkan terlalu berlambang dan pengarang ralit bermain dengannya sehingga isu utama yang ingin diutus langsung tenggelam. Segelintir pengarang juga memapar sisi gelap yang pekat di dalam cerpen mereka.

Kami berpendapat sesetengah cerpen masih memiliki kelemahan yang sama, seperti karya yang dinilai pada tahun 2017, iaitu terdapat banyak karya yang mempunyai masalah kekontangan perbendaharaan kata. Kekurangan lain ialah kesukaran penulis mengimbangi had perkataan yang ditetapkan dengan muatannya, mengakibatkan terdapat rukun atau struktur cerpen terabai, melainkan penulis berusaha memanipulasi teknik dan strategi penceritaan.

Akan tetapi, hal yang membanggakan kami sebagai juri ialah dakwaan – jika ada – bahawa pengarang muda mengabaikan isu semasa dalam karya, sama sekali tidak benar. Ini kerana 40 karya ini ternyata peduli realiti dan masalah zaman meskipun karyawan hadir skepktikal, putus asa terhadap segenap aspek kehidupan melibatkan penghujungnya kematian, pembunuhan dan kekalahan. Antara isu hari ini yang diangkat adalah Malaysia Baharu, penderitaan gelandangan, pembalakan haram, pertembungan kumpulan konservatif dan liberal demokrat, kecurangan agamawan, kemiskinan bandar, isu kemerdekaan beragama, kenaikan harga barang, dan keganasan rumah tangga.

Cerpen-cerpen ini juga dipengaruhi oleh medium seni lain seperti filem, karikatur, animasi, catan, e-permainan, dan muzik yang menunjukkan pengarang generasi baharu amat terdedah kepada pelbagai bentuk pengucapan.

Kami juga mengesani cerpen-cerpen yang dikemukakan adalah medan udara bersih untuk bersuara, terdapat campur tangan editor yang minimal, dan tidak terlalu terikat dengan nilai moral.

Setelah berbincang, kami menyenarai panjang 12 cerpen untuk dibahaskan dari semua sudut. Karya-karya tersebut adalah Tuhan di Dalam Poket, Kematian Dilarang di Sini, Rahsia Bilik, Nekrofobia: Geraham Tuan Gegasi, Kelkatu dalam Kopi, Gahgha Nak Kucup Peghancis, Pulang ke Rumah Nakhoda, 9 Mei, Seperti Apakah Rasanya Pizza, Larian Zombi, Penjual Besok dan Kucing Non Partisan (12)

Proses saringan kedua untuk senarai pendek karya yang berjaya diberikan hadiah dilakukan secara pengundian memandangkan kecenderungan, kerangka pilihan dan cita rasa juri yang berbeza. Setelah perbincangan mendalam kami memutuskan untuk memberikan Gahgha Nak Kucup Peghancis sebagai penerima hadiah utama. Hadiah-hadiah Penghargaan pula diberikan kepada pengarang cerpen-cerpen berikut Rahsia Bilik, Kucing Non Partisan, 9 Mei, Penjual Besok dan Seperti Apakah Rasanya Pizza.

Cerpen Gahgha Nak Kucup Peghancis menampilkan watak Rara yang ekspresif dan berani dalam mempamerkan keinginan seksualnya. Kepuasan seks Rara terletak pada kemampuan berkucup tetapi sayang sekali lidah Mazlan, kekasihnya, pendek. Rara berusaha mencari penawar agar ia dapat menikmati hubungan seks oral yang lebih nikmat dan ia ditemukan pada keghairahan menggunakan minyak yang kononnya ajaib untuk memanjangkan lidah seseorang. Bagaimanapun sebaik Mazlan pulang dari kerja sebagai aktivis alam sekitar, Rara mendapati lidah Mazlan lebih pendek dari sebelumnya kerana ia telah dipotong sebagai protes bisu terhadap kesenyapan isu pembalakan haram dan perjuangan orang Asli.

Cerpen ini dipilih kerana kemampuan pengarang menjadikan ia begitu kompak dan seimbang sesuai dengan genre cerpen yang memerlukan penjimatan kata dan ruang. Isu-isu yang ditampilkan bersekali dan bersahaja yakni ekspresi keghairahan wanita yang merupakan salah satu cabang tuntutan gerakan feminisme dan ketidakpedulian isu alam sekitar amat sebati. Satu hal yang berbangkit pada cerpen ini ialah persoalan moral memandangkan watak-watak yang dihadirkan adalah berbangsa Melayu-Islam. Namun demikian juri memilih dengan sistem pengundian dan memihak kepada kekuatan naratif cerpen ini.

Rahsia Bilik mendapat perhatian juri kerana tema kecurangan agamawan, isu pedofilia dan masalah gangguan seksual dan liwat paksa dalam kalangan pelajar tahfiz. Terdapat perbahasan mengenai kesesuaian teknik yang digunakan pengarang. Pun juri akhirnya memilih untuk melihat keberkesanan ekspresi pengarang menerusi watak anak tahfiz yang ketakutan. Malah, kekuatan tema yang dipilih mengatasi kelemahan pilihan teknik (jika ada).

Kucing Non Partisan adalah sebuah satira politik mengenai pertelagahan antara kelompok kucing berbulu gelap dan cerah untuk menanda kawasan. Ternyata perseteruan politik tersebut bertukar ganas, malah sia-sia sehingga kedua-dua kumpulan saling berbunuhan.

9 Mei berjaya memikat juri kerana naratifnya yang bersahaja, mengalir dan pemilihan kata yang sesuai. Meskipun ia ingin memerikan perubahan yang dikecapi rakyat Malaysia pada 9 Mei lalu dan kesungguhan pengundi untuk pulang membuang undi, ia tidak dilakukan dengan jalan berkhutbah, malah terdapat aspek-aspek hidup lain yang ternyata lebih besar dari perubahan yang ingin dilakukan. Cerpen ini turut disulami bibit cinta awal yang menjadikan ia lebih berwarna.

Penjual Besok adalah antara cerpen absurd yang terwakil dalam senarai pendek untuk Hadiah Sastera Selangor 2018 kali ini. Ia mengisahkan insiden pembunuhan seorang penjual esok (besok) yang terbongkar perinciannya apabila watak Aku mengunjungi Kedai Semalam. Juri berpendapat permainan teknik dan strategi penceritaan oleh pengarang ini mewajarkan ia terpilih.

Seperti Apakah Rasanya Pizza adalah cerpen yang ringan, ringkas dan menampilkan persoalan persahabatan dan jurang kelas yang dibebankan pada objek pizza selaku juadah kelasan. Hubungan ‘bromance’ antara watak Anep dan Naim yang bersekolah dan bermain sama tetapi berlainan darjat diungkap dengan sentuhan emosi dan berjaya membangkitkan rasa. Antara karya-karya berat yang dikemukakan, cerpen ini berjaya menjadi pil kelegaan yang menunjukkan genre cerpen masih perlu dan masih boleh mengungkapkan hal-hal biasa dalam kehidupan dengan penuh keindahan.

 Kategori esei

Penganjur menyerahkan 27 esei untuk dinilai. Secara umum, terdapat peningkatan kualiti pada esei yang diterbitkan berbanding esei yang dinilai pada tahun lalu. Justeru tidak seperti tahun lalu, juri berpendapat terdapat esei yang layak diberikan hadiah utama.

Ada pelbagai isu yang diulas melalui esei berkenaan termasuk filem, novel serta isu semasa berkaitan seni, sastera dan budaya. Bagaimanapun ada antara esei berkenaan gagal menyerlahkan isu atau isi yang diharapkan, dengan sebahagian daripadanya berbentuk promosi semata-mata.

Kelemahan esei-esei ini dapat dilihat secara spontan. Ada beberapa tulisan mempunyai asas yang baik tetapi hilang fokus apabila penulisnya ternampak seperti “syok sendiri” dengan memasukkan hal-hal yang tidak membantu mengukuhkan idea. Ini misalnya banyak dilakukan pada intro esei.

Terdapat juga penulis yang berbahasa menggunakan “aku” dalam tulisan mereka, menjadikan penulis esei berkenaan seolah-oleh lebih penting berbanding apa yang mahu diulas. Beberapa esei juga kelihatan masih mentah, namun jika penulisnya berusaha lebih lagi memuatkan poin penting, ia boleh menjadi tulisan yang baik.

Kami juga mengesan ada esei yang kelihatan tergantung atau terputus. Kami percaya ia tergantung kerana penutupnya gagal memberikan sebarang kesimpulan, atau terputus apabila pembukaan/intro didapati tidak berhubungan dengan isi. Selain itu fokus tulisan kebanyakannya tertumpu kepada isu-isu domestik yang berulangan.

Esei yang diangkat sebagai pemenang mempunyai kekuatan kerana ditulis dengan lancar dan jelas, menarik dan kemas. Kematangan juga dapat dikesan pada sesetengah tulisan, dan cubaan berani untuk mengulas mengenai isu besar. Dalam pada itu terdapat juga esei berbentuk pengamatan seni budaya, yang mungkin akan lebih mantap pada masa akan datang.

Juri ingin menyarankan agar kerajaan negeri atau Selangorkini mengadakan kursus dan bengkel untuk penulis. Kami yakin penulis perlu digalakkan menulis lebih banyak isu mengenai karya dan tokoh luar, serta tidak hanya terhad dalam lingkungan dalam negara.

Pihak Selangorkini malah wajar meraikan tulisan penyumbang dengan menyediakan ruang mencukupi serta sesuai mengikut sesuatu esei. Hal ini dibangkitkan kerana kami percaya sesetengah esei gagal mencapai tahap yang diharapkan kerana berlaku penyuntingan untuk disesuaikan dengan ruang yang ada pada Selangorkini.

Juri kategori esei dengan ini memutuskan bahawa hadiah utama diberikan kepada Jentikan Semiotik Sinema One Two Jaga sementara hadiah penghargaan diberikan kepada penulis esei berikut

Puisi Jumaat Tuan Mufti, Marlina dalam Renungan ke Luar Babak, Penulis Diaspora: Bukan Sekadar Cerita,

Tentang Perang Antara Sinema dan Sastera dan Tabu dan Pelangi yang Tercarik di Dada Sastera.

Kategori Puisi

Pihak penganjur menyerahkan 45 puisi untuk diadili. Secara keseluruhan karya yang diadili ini lebih baik berbanding karya tahun 2017.

Setelah meneliti sejumlah 45 puisi dengan landas kriteria yang merangkumi pertimbangan estetika, emosi, akal budi, akal fikiran dan akal rasa yang bersifat objektif dan subjektif, tiga panel membariskan 17 puisi berlainan untuk dinilai bagi Anugerah Hadiah Sastera Selangor kategori puisi pada tahun ini. Daripada jumlah itu juga puisi telah disenarai pendek sebagai lapan puisi untuk dicadangkan diberi Hadiah Penghargaan. Lapan puisi yang dicadangkan dan dipertimbangkan adalah seperti berikut Bulbul, Mawar dan Bulan, Perempuan Samudera, Kepala Yang Menetap di Tubuh Lain, Piriya Bukan Pencuri, Cerita Kota 5, Mencuri Waktu, Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu dan Matryoshka.

Secara umum, mutu puisi disandarkan pada kehadiran nilai seni yang diukur berdasarkan struktur ungkapan yang estetis berserta dengan nilai kebijaksanaan. Manakala bahasanya pula terbina daripada diksi yang relevan dan harmonis dengan ekspresi dan konteks, binaan suasana yang mengepung tanggapan, dan siratan makna yang interpretatif. Wacana dalam puisi harus pula mendukung mesej yang dapat menimbulkan kesedaran dengan sentuhan emosi dan intelektual.

Kesemua puisi yang dinilai boleh diandaikan sebagai puisi moden yang bebas dan tidak terikat dengan struktur dan gaya puisi tradisi. Malah menampilkan visual yang pelbagai; ada yang langsung, kompleks, dan ada yang abstrak. Kebanyakan puisi disampaikan dengan bahasa yang mudah, malah terdapat yang berbentuk prosaik, kecuali beberapa puisi dilihat terkehadapan dari segi pengucapan dan kematangan.

Kebanyakan puisi juga tidak berdialog sejagat sehingga kesannya menjadi lemah dan tiada kesan wacana puitik. Dari segi bahasa, rata-rata puisi kurang berupaya mengawal wacana dalam varian seni kreatif dan tidak menonjolkan nilai seni dalam aspek bahasa.

Sebilangan kecil pula memperlihatkan ujaran makna yang ekspresif dengan sentuhan emosi dan intelektual yang agak mendalam. Agak sukar sebenarnya mencari puisi yang melengkapi keseluruhan estetika gaya dan makna serta indah dari segi binaan wacana dengan simbol dan imej dalam kesatuan yang tuntas.

Bagaimanapun, lapan puisi yang dicadangkan ini adalah antara pilihan yang boleh diangkat dan diberikan justifikasi sebagai terkehadapan dengan yang lain-lain, meskipun ia tidaklah boleh diandaikan sebagai mendukung ciri terunggul dari segi keseluruhan binaan puisi itu sendiri. Ruang penambahbaikan masih besar dan luas.

Daripada lapan cadangan ini, Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu mendahului cadangan sebagai hadiah utama dan diikuti lima yang berikut sebagai hadiah penghargaan iaitu Bulbul, Mawar dan Bulan, Kepala Yang Menetap di Tubuh Lain, Matryoshka, Perempuan Samudera dan Piriya Bukan Pencuri.

Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu tidaklah dianggap sebagai sebuah puisi yang sempurna. Bagaimanapun, semangat ingin keluar dari zon kebiasaan dan kemampuan mengejutkan dengan retorik-retorik memukau menjadikannya istimewa. Beberapa kalimat yang segar serta imejan yang jelas telah berupaya menghantar mesej jelas kepada pengamat puisi. Pemilihan puisi yang berbentuk prosaik ini bukanlah untuk menjadi indikator sebagai sebuah puisi yang mengikut trend atau yang sepatutnya didukung oleh penyair masa kini. Puisi berbentuk prosaik bukanlah satu puisi yang mudah. Ia memerlukan tenaga serta konsistensi estetika dan makna dalam penghasilannya. Puisi Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu bagaimanapun berupaya mengawal pengucapan serta memikat juri untuk dicadangkan sebagai pemenang hadiah utama pada kali ini.

Lima daripada puisi yang dipilih sebagai terbaik secara umum menunjukkan ketelitian dan kecermatan dalam pembinaannya. Dengan melihat daripada aspek ini ia bolehlah dikatakan terbaik dalam kalangan 45 puisi yang lain.

Sajak Bulbul, Mawar dan Bulan dan Matryoshka pula misalnya menunjukkan tempo, set kata dan tenaga yang sangat konsisten. Kedua-dua sajak ini memberikan saingan sengit terhadap sajak pemenang utama, Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu yang lebih bersahaja. Bulbul, Mawar dan Bulan dan Matryoshka boleh dianggap hampir sempurna dalam bentuknya. Bulbul, Mawar dan Bulan mirip kepada format sastera Islam, yang disampaikan dengan gaya lebih kompleks. Gaya ini biasa dilihat. Bagaimanapun, ia berbentuk seperti kolaj dan terlihat seperti name dropping yang tidak perlu.

Matryoshka pula bercakap dengan tema yang lebih sejagat yang popular sekitar 70-an. Berlatar belakang suasana Rusia, mesej disampaikan tetap relevan di negara-negara lain, termasuk Malaysia.

Perempuan Samudera pula sebuah sajak yang sederhana tetapi romantik. Penyampaiannya tidak terlalu bersungguh-sungguh sehingga menampakkan kekok atau dibuat-dibuat.

Persamaan ini dilihat dalam sajak Kepala yang Menetap di Tubuh Lain, walaupun menyentuh tema berbeza.

Sajak Piriya Bukan Pencuri pula ialah sajak paling sederhana di antara semua pemenang. Ia mudah dicerna tetapi mampu mengheret emosi. Ia digubah berdasarkan kisah sedih adik M Vasantha Piriya yang membunuh diri setelah dituduh mencuri telefon bimbit gurunya. Meskipun ini merupakan sebuah puisi dedikasi, namun pengucapannya menyentuh emosi serta berupaya meluaskan horizon pemikiran si pengamatnya.

Akhir sekali, sajak-sajak lain yang tidak terpilih turut memperlihatkan sudut pandang menarik yakni bagaimana penyair berinteraksi dengan zamannya. Paling menonjol, sebuah sajak yang merakamkan fenomena komunikasi digital. Karya ini membandingkan bahasa binari dengan bahasa lisan.

*Panel juri Hadiah Sastera Selangor 2018 diketuai Faisal Tehrani. Panel lain ialah Wan Nor Azriq, Zaharahanum Kamarudin, Al-Abror Mohd Yusuf, Fathi Aris Omar, Noor Azam Shairi, Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, Rozlan Mohamed Noor dan Jimadie Shah Othman

 

 


Pengarang :