SUKANKINI

Sorotan 2018: Harimau Malaya kembali mengaum

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Tahun 2018 merupakan tahun yang agak cemerlang buat sukan bola sepak Malaysia, yang menyaksikan skuad Harimau Malaya kembali mengaum di pentas antarabangsa dan mendapatkan kembali keyakinan penyokong.

Malaysia memulakan 2018 dengan catatan bersejarah apabila skuad Bawah-23 tahun (B-23) negara mara ke pusingan suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 buat kali pertama, sebelum tewas tipis 1-2 kepada gergasi Asia, Korea Selatan pada kejohanan yang berlangsung dari 9 hingga 27 Jan di Kushan, China.

Pasukan itu mengulangi prestasi terpuji mereka di Sukan Asia Jakarta-Palembang pada Ogos, apabila mencipta kejutan besar dengan menewaskan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 pada aksi Kumpulan E untuk mara ke pusingan kalah-mati.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0-1 ke atas satu lagi kuasa besar Asia, Jepun dan terlepas peluang mengulangi pencapaian pingat gangsa edisi 1962 di Jakarta. Malaysia turut pernah meraih pingat gangsa acara bola sepak Sukan Asia pada edisi 1974 di Tehran, Iran.

Korea Selatan, yang diperkuatkan oleh penyerang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Tottenham Hotspurs, Son Heung-min, kemudiannya muncul juara buat kali kelima selepas menewaskan Jepun 2-1 pada perlawanan akhir.

Bagaimanapun, skuad B-19 gagal mengulangi pencapaian skuad ‘abang’ apabila sekadar menamatkan saingan Kejuaraan AFC B-19 yang berlangsung dari 18 Okt hingga 4 Nov di Indonesia di tangga tercorot Kumpulan D dengan hanya memperoleh satu mata.

Walaupun menjadi tuan rumah Kejuaraan AFC B-16, skuad negara kendalian Lim Teong Kim juga sekadar menamatkan saingan di tangga tercorot tanpa mengutip sebarang mata selepas tewas ketiga-tiga perlawanan Kumpulan A dan gagal layak ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun hadapan.

Berikutan itu, Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) bertindak memecat Teong Kim selaku ketua jurulatih skuad berkenaan dengan serta-merta, manakala Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagaikan mencurah minyak ke dalam api apabila mendedahkan Teong Kim menerima gaji berjumlah RM175,000 sebulan tanpa cukai selaku Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa kegagalan itu juga ada hikmahnya, kerana ia berjaya membuka mata semua pihak mengenai kepincangan yang wujud dalam pelaksanaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) khususnya di AMD yang menyaksikan fasiliti tidak mencukupi selain wujudnya catuan makanan.

Syed Saddiq berkata, walaupun RM85 juta diperuntukkan untuk pembinaan AMD di Gambang, Pahang, kemudahan yang disediakan itu tidak menjustifikasikan jumlah peruntukan itu dan mahu membawa isu itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika wujud penyelewengan dan rasuah.

Kemunculan pemain-pemain muda seperti Muhammad Safawi Rasid, 21; Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 19; dan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi, 24, turut membuktikan bahawa Malaysia tidak ketandusan bakat dalam sukan paling popular di dunia itu, selain dapat meningkatkan prestasi skuad senior.

Pasukan kebangsaan Malaysia berjaya mara ke peringkat akhir Piala AFF buat kali keempat selepas kali terakhir pada 2014, selepas menewaskan juara bertahan, Thailand dengan keputusan agregat 2-2 berdasarkan gol di tempat lawan selepas masing-masing terikat tanpa jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Terdahulu, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menempah tiket ke separuh akhir selepas menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan A di belakang Vietnam.

Bagaimanapun, impian Harimau Malaya untuk merangkul kejuaraan Piala AFF buat kali kedua selepas edisi 2010 berkubur di Hanoi apabila tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua 15 Dis lepas. Vietnam menjadi juara menerusi agregat 3-2 selepas aksi pertama di Bukit Jalil beberapa hari sebelum itu, berkesudahan 2-2.

Ranking antarabangsa Malaysia turut meningkat kepada kedudukan ke-167 setakat November, meningkat 11 anak tangga berbanding kedudukan ke-178 pada Mac lalu, iaitu kedudukan tercorot skuad Harimau Malaya yang pernah menghuni ranking ke-79 pada awal 90-an.

Pucuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia juga menyaksikan angin perubahan apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletak jawatan sebagai Presiden pada Mac dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden ketujuh FAM pada Julai.

Di peringkat domestik pula, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan dominasi dalam kancah bola sepak tempatan – Liga Malaysia (Liga-M) apabila mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut sejak 2014 dan ia merupakan satu rekod yang belum diatasi oleh mana-mana pasukan setakat ini.

Kejayaan muncul juara Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) musim ini turut membantu skuad Harimau Selatan itu menyapu sembilan daripada 17 anugerah pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 baru-baru ini, dengan pemain sayapnya, Muhammad Safawi dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai.

Kejayaan JDT muncul juara Liga Super 2018 menyaksikan JDT mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari Malaysia beraksi pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang turut disertai beberapa kelab terbaik Asia seperti juara bertahan ACL, Kashima Antlers dari Jepun selain juara 11 kali Liga Iran, Persepolis FC.

JDT turut diiringi oleh juara Piala Malaysia 2018, Perak yang perlu melalui perlawanan kelayakan sebelum mengesahkan tempat ke peringkat kumpulan ACL 2019.

Saingan Liga Premier tidak kurang hebatnya dengan Felda United muncul juara, sekali gus kembali beraksi pada Liga Super bagi musim 2019.

Bagaimanapun, masalah tunggakan gaji pemain masih membelenggu pasukan bola sepak tempatan dengan beberapa pasukan seperti Kelantan dan Terengganu City FC yang masih gagal melunaskan gaji pemain mereka seperti yang dimaktubkan dalam kontrak, sehingga pemain terlibat dan keluarga mereka terpaksa mengikat perut.

Selain masalah gaji, keputusan penarikan diri beberapa pasukan dari saingan Liga Malaysia 2019 turut menghiasi laporan media termasuk naib juara Liga Premier 2018, Felcra FC dan pasukan Liga FAM, PJ Rangers yang dilaporkan menarik diri kerana berdepan masalah kewangan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :