RENCANA

Makanan warisan berkhasiat atau memudaratkan?

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Manis serta lemak bersantan adalah antara ciri umum kebanyakan kuih-muih serta lauk-pauk tradisional di Malaysia, sehingga ada yang mendakwa sebagai penyumbang kepada masalah kesihatan.

Sejauh manakah kebenarannya atau mungkinkah kenyataan itu merupakan tohmahan semberono?

Pengarah Bahagian Warisan Dunia Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Syahrin Abdullah yang menolak anggapan itu berkata, secara amnya makanan tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun hanya menggunakan ramuan daripada alam semula jadi tanpa pengawet atau pewarna tiruan.

“Sebagai contoh, nasi kerabu asli menggunakan pewarna daripada bunga telang serta mengandungi pelbagai jenis ulam-ulaman kampung yang baik untuk kesihatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian, Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan, Basmawati Baharom bersetuju bahawa makanan tradisional sepatutnya tidak mendatangkan masalah kesihatan walaupun nasi adalah makanan ruji rakyat negara ini.

“Kajian menunjukkan masalahnya bukan terletak pada makanan itu tetapi cara dan kuantiti yang diambil.

“Umumnya makanan tradisional seperti nasi lemak, nasi minyak dan sebagainya tidak boleh dikatakan tidak sihat kerana hakikatnya, ia bergantung kepada cara pengambilan seseorang. Sebenarnya, banyak makanan warisan bagus dari sudut kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Pun begitu, beliau tidak menafikan bahawa ramuan makanan berkenaan boleh menjadi punca pelbagai penyakit seperti diabetes, darah tinggi atau jantung jika dimasak secara tidak sihat dan diambil secara berlebihan tanpa kawalan.

UTAMAKAN CARA PENYEDIAAN

Sehubungan itu, Basmawati menasihati penggemar makanan tradisional agar menikmatinya dengan berpandukan kandungan resepi serta cara penyediaannya sama ada dibakar, direbus atau digoreng.

“Tidak sukar untuk mengamalkan pemakanan sihat jika kita memahami kandungan dalam makanan itu dan kesannya pada tubuh. Tidak salah jika mahu makan gulai lemak cili api atau kari yang dimasak dengan santan namun perlu ada hadnya,” katanya.

Tambah beliau, pengambilan makanan dan gaya hidup generasi dahulu adalah lebih seimbang, jadi mereka jarang mengalami masalah kesihatan, penyakit kronik mahupun kencing manis, obesiti atau sakit jantung.

“Orang dahulu jarang kena penyakit-penyakit itu kerana aktiviti fizikal mereka sangat banyak. Mereka bekerja memerah tenaga, jadi apa yang mereka makan habis digunakan untuk keperluan tenaga.

“Bukan itu sahaja, bahan masakan selalunya dibuat sendiri. Contohnya, orang sekarang guna santan kotak, berbanding zaman dulu, proses dapatkan santan agak rumit sebab perlu panjat pokok, kukur isi kelapa, dan sebagainya sebelum mendapat santannya,” tambah beliau.

Basmawati berkata, keadaan itu berbeza berbanding generasi sekarang yang terlalu bergantung kepada teknologi dalam kehidupan harian sehingga urusan makanan pun dibuat melalui aplikasi maya.

“Orang sekarang tak aktif dan kurang bergerak, nak senang dan cepat. Mereka hanya pesan makanan dan tidak perlu sedia apa-apa, itu antara penyebab menghidap banyak penyakit,” ujarnya.

PEMAKANAN SEIMBANG AKTIVITI HARIAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai piramid makanan atau carta pemakanan sebagai garis panduan yang boleh diamalkan agar lebih sihat, bagaimanapun tidak ramai yang mengikutinya.

“Ia sangat mudah, paling penting kita perlu bersederhana dalam pengambilan makanan. Malaysia terkenal sebagai syurga makanan dan kita boleh dapat apa sahaja makanan yang kita mahu, tetapi perlu bersederhana.

“Kita perlu mempelbagaikan makanan yang diambil supaya tubuh mendapat zat secukupnya, namun pemakanan hendaklah seimbang dengan aktiviti harian,” katanya.

Sementara itu, tukang masak terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan berkata, generasi muda hari ini kurang diberi pendedahan secukupnya mengenai makanan warisan, selain mereka juga tidak ambil peduli mengenainya.

“Masyarakat hari ini terutamanya yang tinggal di bandar lebih gemar menyediakan hidangan dalam kadar yang cepat. Malah, mereka juga lebih gemarkan makanan segera yang mudah didapati di pasaran,” katanya.

Chef Wan berkata, dari segi kesihatan, sajian makanan warisan mempunyai khasiat tersendiri.

“Lihat sahaja masyarakat dahulu, kebanyakan makanan disediakan dengan cara membakar, mengukus atau memanggang yang kita tahu sememangnya menyihatkan.

Tukang masak selebriti itu turut menyarankan agar kursus bidang seni kulinari diperluaskan lagi bagi memartabatkan sajian makanan warisan selain memberi kesedaran mengenai khasiatnya.

“Perlu ada buku atau ensiklopedia yang mengandungi semua sajian makanan warisan agar boleh dijadikan rujukan pada masa depan. Ia bukan hanya untuk disimpan sebaliknya digunakan sebaik-baiknya oleh generasi akan datang, terutama kaedah penyediaan pelbagai manakan itu,” tambah beliau.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: NASI KERABU CENDERASA


Pengarang :