PBTSELANGOR

MBSA lancar Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 MAC: Nasib bekas pemain bola sepak Selangor, Anuar Abu Bakar, mendapat perhatian Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang melancarkan ‘Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar’ bagi membantunya menampung kos rawatan kanser hati tahap empat.

Anuar, 48, yang juga Ketua Jurulatih Akademi Soccerkids MBSA memerlukan sumbangan orang ramai bagi membantu menampung rawatan penyakit kanser yang dihidapinya.

Anak kelahiran Muar, Johor itu pernah membantu Red Giants menjadi Juara Piala Liga Premier dan Juara Piala Malaysia selain menyarung jersi pasukan Johor, Pulau Pinang serta Kelantan.

Beliau juga pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Kemerdekaan (1995), Sukan SEA di Thailand (1996) dan Kejohanan Piala Tiger di Singapura (1996).

Anuar turut berjaya membawa pasukan Soccer Kids MBSA memenangi pelbagai kejohanan antaranya Johan Karnival Bolasepak Remaja Bawah 10 tahun Piala Adun Batang Kali 2016, Johan Karnival Bolasepak Remaja Bawah 15 tahun 2016, Johan Piala Timbalan Menteri Pendidikan – Rawang, Johan Kejohanan Piala Qhaleefa Tunas Muda Klang 2016 Bawah 9 tahun dan Johan Kejohanan TALENT CUP 2016 Johor.

Sumbangan boleh diberikan ke Tabung Legenda Abu Bakar atau boleh terus disalurkan ke akaun Maybank 114348093007 (Siti Mariam Sathawee).


Pengarang :