Debat secara sihat isu Lynas | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Debat secara sihat isu Lynas

KUANTAN, 20 APRIL: Pihak terbabit dalam isu berkaitan kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) disaran mengadakan perdebatan sihat dalam membincangkan isu berkenaan, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata tiga pihak utama iaitu kerajaan menerusi pelbagai agensi dan jabatan di bawahnya, pengurusan Lynas, dan mereka yang tidak bersetuju dengan Lynas, untuk tidak menggunakan pihak ketiga dalam menyuarakan pendapat masing-masing tetapi sebaliknya duduk semeja dan berbincang secara sihat.

“Perdebatan secara sihat dapat mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku. Debat ini antaranya melibatkan adakah ia selamat, atau mengandungi kandungan radioaktif yang tinggi atau tidak, dan sebagainya.


“Masih juga berlaku anggapan jika Lynas memperoleh sesuatu keputusan daripada kerajaan, maka timbul pula persoalan adakah prosesnya telus atau adakah kemungkinan rasuah berlaku,” katanya pada sidang media selepas melawat operasi kilang Lynas di Gebeng di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen (MP) Indera Mahkota meluangkan masa hampir tiga jam di situ, yang antara lain melibatkan sesi taklimat daripada pengurusan Lynas, melihat operasi dan berbincang bersama pekerja Lynas.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut operasi atau dapatan lawatan itu, kerana berpandangan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, adalah individu paling sesuai untuk berbuat demikian.

Yeo, menurut Saifuddin telah memberikan isyarat positif bersedia untuk melawat Lynas, namun setakat ini, tiada tarikh ditetapkan.

Ditanya jika beliau akan berkongsi input lawatannya di mesyuarat Kabinet, Saifuddin berkata: “Sebagai anggota Kabinet dan lebih-lebih lagi sebagai MP kawasan kilang Lynas didirikan, saya harus terlibat, tetapi sebagai seorang yang terlibat dalam tadbir urus.”

Untuk rekod, Saifuddin merupakan menteri kedua yang melawat kilang Lynas selepas Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Peraturan dan Pematuhan Lynas Profesor Dr Ismail Bahari berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk menyertai perbincangan secara sihat bagi memberi penjelasan mengenai operasi mereka.

“Itu adalah tawaran yang diberikan sejak mula beroperasi dan kita tidak mengatakan tidak boleh berjumpa kerana di pihak Lynas, kami sentiasa bersedia untuk bersama-sama mencari menyelesaian dan titik persamaan,” katanya. -BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next