SELANGOR

Pangsapuri Taman Keramat Permai retak selamat diduduki

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 2 MEI: Keputusan siasatan lengkap berhubung keretakan serius yang berlaku di Pangsapuri Blok F Taman Keramat Permai, di sini, 26 April lalu, didapati selamat diduduki.

Ketua Unit Pengurusan Bencana, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, hasil kajian yang dilakukan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bersama Perunding ZNA (ASIA) Sdn Bhd didapati bangunan dan struktur flat itu selamat dan tiada sebarang kecondongan berlaku.

Katanya, penduduk mula dibenarkan kembali ke Blok F mulai Sabtu ini seawal jam 8 pagi manakala pusat pemindahan akan ditutup secara rasmi pada jam 2 petang hari yang sama.

“Hasil pengumpulan data dan penilaian sejak 27 April lalu sehingga semalam didapati tiada sebarang kecondongan berlaku di flat ini dan perunding turut mengesahkan bangunan selamat diduduki.

“Bagaimanapun, kerja pembaikan struktur keretakan bangunan sudah dilakukan sejak semalam oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan tempoh baik pulih itu mengambil masa kira-kira sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Pusat Komuniti Wanita dan Belia Hulu Kelang, Keramat Permai, di sini, hari ini.

Mengulas sama ada penduduk tetap akan tinggal di pangsapuri terbabit semasa kerja baik pulih dilaksanakan, Ahmad Fairuz berkata, penduduk tidak perlu khuatir kerana pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa.

Katanya, pihaknya memberi jaminan sepanjang kerja baik pulih dijalankan gangguan kepada penduduk hanya pada kadar minimal sahaja.

“Kita sudah memasang ‘prop’ untuk menyokong struktur keretakan itu walaupun tiada pergerakan aktif dan penduduk tidak perlu khuatir.

“Pemantauan juga akan tetap dijalankan secara berterusan selama enam bulan selepas kerja baik pulih selama sebulan itu siap,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari pada 26 April lalu, penghuni Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai digemparkan dengan penemuan beberapa keretakan di struktur bangunan terbabit.

Susan kejadian itu ia memaksa seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai.

Manakala, mangsa yang berada di pusat pemindahan itu dipindahkan ke lokasi kedua di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 terdiri daripada 24 keluarga membabitkan 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU).

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :